23 June 2013

Penjawat awam patut syukuri faedah gaji Julai ini

MUAR, 23 Jun (Bernama) - Penjawat awam patut bersyukur dengan pemberian faedah pemindahan gaji bersamaan kadar satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Julai ini, menurut Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Timbalan Presidennya, Azih Muda berkata, walaupun kenaikan itu dilihat kecil oleh sesetengah pihak, ia memberi faedah besar kepada penjawat awam dalam jangka masa panjang.

"Walaupun kenaikan ini tidak besar, tetapi ia jelas menunjukkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 Koperasi KOSPETA Malaysia Berhad di sini hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan pelaksanaan eksesais itu susulan keputusan kerajaan berkaitan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan awam, landasan kerjaya dan pembetulan kepada masalah struktur gaji.


Menurut JPA masalah struktur gaji akan diselesaikan sebelum 31 Dis ini.

Mengenai bonus tahun ini, beliau berkata, Cuepacs yakin kerajaan akan memberikan habuan lebih baik daripada satu setengah bulan gaji tahun lalu.

Azih berkata Cuepacs juga berharap kerajaan memperuntukkan 30 peratus daripada sejuta buah rumah mampu milik yang akan dibina dalam tempoh lima tahun akan datang kepada penjawat awam. - BERNAMA

Bila nak umum bonus raya 2013. Ramai kakitangan awam menunggu.