KUALA LUMPUR 23 Jun - Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan
ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri
G. Palanivel.
Palanivel berkata, beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.
"Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup
sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan
memberi kesan terhadap kesihatan pelajar," katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka
berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU)
di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit
penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam
sebelumnya.
IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang
sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334,
meningkat ke 415 dan 428.
Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara,
Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua
kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah
Sandakan dan Tawau di Sabah. - BERNAMA