Naib presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru golongan yang
enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia agar meninggalkan negara
ini dan berhijrah ke negara yang menjalankan pilihan raya mengikut
kaedah yang digemari.
Beliau yang baru dilantik mengetuai
kementerian dalam negeri mensasarkan perkara itu kepada golongan
pengikut parti politik yang berpakaian serba hitam dalam kempen bagi
membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.
“Pemimpin-pemimpin
parti pembangkang khususnya PKR dan DAP telah mengelirukan anak-anak
muda Cina dan para pengikut yang buta politik untuk berpakaian serba
hitam sebagai tanda protes terhadap keputusan PRU-13 yang dianggap
memihak kepada mereka mengikut undi popular,” katanya.
“Jika
golongan ini mahu menerima pakai list system atau single transferable
vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya
mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan
kepercayaan politik mereka,” katanya dalam tulisan di akhbar Utusan
Malaysia.
Tambahnya, Malaysia tidak mengiktiraf undi popular tetapi majoriti mudah seperti yang diamalkan dalam sistem Westminster.
Pakatan Rakyat berjaya meraih undi popular sebanyak 51.78 peratus berbanding dengan pencapaian BN sebanyak 48.22 peratus.
Ahmad
Zahid berkata golongan penyokong tersebut sepatutnya menerima sistem
politik dan pembentukan kerajaan seperti diperuntukkan dalam
perlembagaan, sekiranya mereka benar-benar setia kepada negara ini.
“Mereka
juga hendaklah mengakui hakikat kekalahan dan penolakan rakyat se
bagaimana yang terdapat dalam sistem first past the post yang terpakai
buat sekian lama di negara ini.
“Perhimpunan haram yang
dianjurkan secara road show hanya merupakan escapism untuk lari daripada
menerima hakikat kegagalan pembangkang untuk menguasai Putrajaya,”
katanya. - Malaysiakini
Hijrah ramai-ramai (golongan sedar), biar senang Umno-BN nak buat kerja tipu.