Kerajaan Negeri Terengganu tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai
Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang BN kalah
dalam pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas.
Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata rakyat di kawasan Parlimen dan
DUN berkenaan perlu meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka
pilih.
"Kita akan pertimbangkan cara lain, namun buat masa
ini memang tiada cadangan untuk meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan
di kawasan yang (BN) kalah.
"Selama ini kita (BN Terengganu)
telah mengambil alih tugas wakil rakyat PAS dalam menyelesaikan masalah
harian mereka (rakyat) dan kali ini biarlah rakyat di kawasan itu
mengadu kepada wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita selepas
majlis angkat sumpah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Terengganu di Istana Maziah di sini hari ini.
Ahmad
bagaimanapun berkata BN Terengganu akan terus melaksanakan agenda
pembangunan seperti yang dilakarkan dalam Aku Janji BN negeri.
"Pembangunan
akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah
mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang kita (BN) kalah, kita
akan bina di kawasan yang dimenangi BN," katanya.
Antara Aku
Janji tambahan BN Terengganu dalam pilihan raya lalu ialah menarik
pelaburan lebih RM25 bilion dalam industri petrokimia, bioteknologi dan
keluli dengan lebih 10,000 peluang pekerjaan, menaik taraf Institut Al
Quran Terengganu sebagai sebuah kolej universiti dan menjadikan Tasik
Kenyir sebagai Hab Ekopelancongan dan kawasan bebas cukai.
Ahad
lalu BN Terengganu mengekalkan mandat pemerintahan di negeri itu
apabila memenangi 17 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).
Daripada
lapan kawasan Parlimen, BN menang di Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu
Terengganu manakala PAS menang di Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala
Terengganu - Bernama
Tidak terkejut jika dia umumkan segala kemudahan hanya untuk ahli Umno sahaja.