Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau bersedia menerima
sebarang keputusan mahkamah sekiranya Pakatan Rakyat membawa ke
mahkamah kes yang didakwa sebagai penipuan dalam keputusan pilihan raya
umum ke-13.
Beliau berkata, sehingga hari ini, tiada sebarang
bukti sahih yang dibawa oleh Pakatan mengenai dakwaan penipuan keputusan
pilihan raya tersebut.
"Mereka menggembar-gemburkan satu
pembohongan dalam media sosial dan cerita yang dibawa dari mulut ke
mulut. Mengenai "blackout" di satu kawasan yang dikatakan sebagai cara
untuk menipu dalam pilihan raya, walhal senarai daftar pemilih ada dalam
tangan mereka, setiap pusat pengundian ada agen yang menyaksikan
proses.
"Sehingga akhirnya, belum ada bukti sahih mengenai
penipuan yang dijalankan. Maka, kalau ada satu dua kes, bawalah ke
mahkamah. Mahkamah akan tentukan dan kita sanggup menerima apa jua
keputusan mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
menyampaikan ucapan di majlis sambutan ulangtahun ke-67 Umno di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
Turut hadir ialah mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dan isteri Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Selain
itu, Najib juga menggesa Pakatan untuk mengemukakan bukti tentang
dakwaan wujudnya usaha untuk mengimport 40,000 warga Bangladesh untuk
mengundi dalam pilihan raya lalu.
Beliau juga berkata, sebagai
sebuah parti yang sebelum ini kerap melaungkan tentang demokrasi,
Pakatan sepatutnya menerima keputusan pilihan raya yang ditentukan oleh
rakyat Malaysia sendiri.
"Yang anehnya mereka yang banyak
bersuara tentang demokrasi yang menyatakan rakyat yang menentukan
segala-galanya, setelah pilihan raya berakhir enggan menerima keputusan
demokrasi parlimen yang ditentukan rakyat Malaysia sendiri.
"Pelbagai
alasan diberikan kononnya telah berlaku penipuan dalam pilihan raya.
Mereka bawa cerita kononnya kita import 40,000 mat bangla untuk
mengundi.
"Saya nak tanya, kalau nak bawa 40,000 mat bangla,
sebuah (kapal terbang) Jumbo muat seramai 400 dan bererti 100 buah Jumbo
terpaksa mendarat di lapangan terbang. Saya nak tanya pada pembangkang,
tunjuk di mana ada 100 buah jumbo yang mendarat di lapangan terbang,"
katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim mendakwa terdapat penipuan dalam keputusan pilihan raya umum
ke-13 yang diumumkan Isnin lalu.
Sehubungan itu, Anwar yang juga
merupakan ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, sebuah pasukan bagi
menyiasat penipuan pilihan raya ditubuhkan kerana Pakatan enggan
menerima keputusan pilihan raya itu.
Pihaknya menolak keputusan pilihan raya sehinggalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi justifikasi yang wajar, kata Anwar.
Pakatan
turut mengadakan himpunan "Suara Rakyat Suara Keramat" yang
mengumpulkan kira-kira 120,000 orang Rabu lalu bagi menyatakan bantahan
terhadap keputusan pilihan raya itu. - Malaysiakini