Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau
"tidak akan bekerjasama" dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)
berhubung siasatan mengenai urusniaga belakang tabir didakwa melibatkan
anggota keluarganya.
SPRM juga tidak layak mendapat kerjasama
darinya kerana kerana suruhanjaya itu didakwa bertindak "nakal” dan
“tidak jujur”, kata Abdul Taib ketika ditemui pemberita selepas
mesyuarat dewan tertinggi BN di Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Taib juga menegaskan beliau tidak takut untuk disiasat oleh badan anti-rasuah itu.
"Mereka tidak layak terima kerjasama dari saya kerana mereka nakal dan tidak bertindak jujur.
"Biarkan
mereka (SPRM) buat kerja. Selagi mereka berlaku adil saya tidak takut,"
katanya ketika ditemui pemberita di PWTC hari ini.
Taib juga
menafikan tanggapan bahawa isu yang dibongkarkan melalui satu video oleh
NGO antarabangsa Global Witness itu akan menjadi bebanan kepada BN
dalam pilihan raya akan datang.
Malah, beliau juga berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga kepada BN di Sarawak dalam pilihan raya umum ke-12.
"Saya
bebanan? Saya telah menang pada pilihan raya lalu dengan lebih dua
pertiga majoriti dan mereka tidak kisah pun tentang perkara ini,"
katanya lagi.
Ditanya lagi sama ada pendedahan tersebut memberi
kesan terhadap sokongan rakyat di Sarawak terhadap BN, Taib berkata
kesannya amat kecil.
"(Kesannya) Minimum. Ia tidak bersesuaian dengan sentimen penduduk tempatan," katanya lagi.
SPRM pada 20 Mac lalu mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan ke atas maklumat video yang didedahkan Global Witness itu.
Bukti
video berkenaan antara lainnya merakam dakwaan yang menunjukkan
bagaimana ahli keluarga Abdul Taib dan rakan perniagaannya menyalahguna lesen pembalakan untuk memperkayakan diri mereka.
Suruhanjaya itu turut menjalankan serbuan ke atas pejabat seorang peguam yang dikaitkan dalam video terbitan NGO antarabangsa itu. - Mkini
Perlu ambil pengajaran terhadap nasib pemimpin yang angkuh dan sombong.