KUALA LUMPUR, 12 April — Penyandang kerusi Parlimen Kota Tinggi Tan
Sri Syed Hamid Albar hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada
pilihan raya umum (PRU) kali ini.
Menganggap kerjanya selama ini telah selesai, Syed Hamid yang juga
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, berkata telah tiba
masanya untuk beliau mengundur diri dan memberi laluan kepada muka
baharu.
“Keputusan ini sebenarnya telah lama dibuat tetapi tidak diumumkan
kerana saya perlu memastikan semua perkara adalah dalam keadaan teratur
sebelum sebarang pengumuman dibuat,” katanya dalam satu kenyataan di
sini.
Katanya beliau telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri serta
menjadi anggota parlimen selama lima penggal dan tempoh itu satu jangka
masa yang panjang dan amat memuaskan kerana dapat berkhidmat kepada
negara dan rakyat Kota Tinggi secara khasnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada
kerajaan dan parti kerana telah memberi saya peluang bekerja untuk
rakyat dan kepada pengundi di Kota Tinggi atas sokongan tidak berbelah
bahagi sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota Parlimen,” katanya.
Beliau berharap pengundi di Kota Tinggi akan terus memberi sokongan
penuh kepada sesiapa juga yang dipilih pucuk pimpinan sebagai calon
sepertimana sokongan diberikan kepada beliau sebelum ini.
Pada PRU 2008 Syed Hamid menewaskan Onn Jaafar daripada PAS dengan majoriti 18,961 undi. – Bernama
Tanda - tanda kekalahan Umno-BN.