KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap
penyebaran gambar dan DVD lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan
parti itu sebagai fitnah dan bukan masalah besar kepada Pas.
Beliau berkata perkara itu tidak serius dan pemimpin kanan Pas yang
dianggap mangsa fitnah itu tidak perlu memberi penjelasan kepada parti
kerana banyak lagi perkara lain yang perlu dibuat ketika ini.
"Kita (Pas) anggap itu satu fitnah...lagi lama dia siar, lagi pahala
banyak dapat kepada dia (pemimpin itu). Kita yakin benda itu tidak benar
dan dia siar, dia berdosa, biarlah dia siar lagi luas lagi banyak dapat
pahala," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rusila hari ini.
Abdul Hadi berkata beliau hairan kenapa pemimpin terbabit menjadi
mangsa kerana beliau bukanlah calon Pas untuk bertanding mana-mana
kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.
Katanya, Pas berserah kepada Tuhan untuk memberikan petunjuk dan
setakat ini, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang
bertanggungjawab membuat fitnah itu.
Semalam di Kampung Alor Lintang Besut, polis dilaporkan menemui 16
bungkusan yang mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan
seorang pemimpin kanan Pas. - Bernama
Sudah siasat? Jika belum mengapa kata fitnah?