PETALING JAYA - PKR hari ini mendakwa Kor Risik Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) diarah melatih anggota Pemuda Umno dan orang awam yang
bukan ahli Umno sabotaj dan mengganggu program Pakatan Rakyat (PR).
Dalam kenyataan segera, Pemuda Umno menafikan dakwaan tersebut.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul mendakwa, beberapa
hari lalu beliau telah dihubungi oleh seorang lelaki yang mendakwa
sebagai salah seorang orang awam yang dilatih untuk membuat huru-hara
menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 terutamanya di kawasan Wilayah
Persekutuan dan Lembah Klang.
Wakil rakyat Sungai Petani ini berkata, latihan tersebut turut membabitkan pemantauan terhadap kegiatan PR secara berterusan.
"Dua kumpulan yang didakwa telah dilatih oleh Kor Risik ialah Kumpulan Batas dan Warisan Malaya.
"Kini ahli kumpulan ini bertaburan di seluruh negara dan telah bersiap
sedia untuk melalkukan huru-hara," dakwanya pada sidang media di ibu
pejabat PKR, di sini, hari ini.
Johari , PKR menggesa Pengarah Kor Risik ATM tampil membuat penjelasan terhadap dakwaan itu.
Katanya, "... adakah benar Kor Risik mempunyai program melatih
kumpulan-kumpulan tertentu bagi melakukan kerja-kerja sabotaj terhadap
PR dan ahli-ahli kumpulan ini akan melakukan huru-hara jika BN serta
Umno tumbang pada PRU13.
"Kami tidak menuduh Kor Risik terlibat tetapi minta pihak
bertanggungjawab menjawab dakwaan ini memandangkan dakwaan yang
dikemukakan adalah serius," katanya lagi.
Dalam pada itu, tambah Johari, PKR juga memohon Ketua Polis Negara dan
Panglima ATM memberi sedikit ruang serta masa untuk bertemu pemimpin PR
untuk memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan akan terus komited
memastikan perkara seperi dakwaan ini tidak berlaku.
"Kami amat yakin polis, ATM, pemimpin-pemimpin politik dari mana-mana
parti dan rakyat dapat bergabung mempertahankan negara demi masa depan
negara yang lebih aman," ujarnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menafikan pihaknya
menerima apa-apa latihan Kor Risik ATM seperti yang didakwa.
“Tak betul... itu fitnah. Saya amat menghormati profesionalisme pihak
ATM yang tidak terlibat langsung dalam politik terutamanya dalam melatih
mana-mana ahli dalam parti sama ada Umno ataupun Barisan Nasional (BN).
“Bagi saya, ini adalah satu bentuk penghinaan Johari terhadap ATM. Saya
harap pihak tentera dapat memberikan satu kenyataan untuk menafikan
perkara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Katanya lagi, sekiranya Johari membuat tuduhan sedemikian dan tidak
dapat mengemukakan apa-apa bukti, Khairy berharap Johari menarik balik
tuduhan tersebut.
Mengulas perkara sama, Khairy turut mendakwa kemungkinan Johari ditugaskan oleh Anwar untuk membuat ‘operasi-operasi hitam’.
"Misalnya dalam kes pendedahan bapa Saiful, semasa pendedahan awal,
saya rasa ramai yang terpengaruh, tetapi dua tiga hari selepas
pendedahan itu, Johari membawa bapa Saiful sekali lagi membuat sidang
media untuk menyertai PKR.
“Ketika itu, ramai orang sudah tidak lagi percaya dengan bapa Saiful. Jadi, sama jugalah dengan perkara ini,” jelas beliau.
Ketika ditanya sama ada Pemuda Umno akan membuat laporan polis
berhubung dakwaan ini, Khairy berkata, pihaknya akan kaji perkara ini.
“Pemuda Umno tidak mahu begitu membuang masa. Namun, jika perlu, kami akan membuat laporan polis,” katanya lagi. - SH
Umno-BN perlu bersedia menerima kekalahan nanti. Hormati pilihan rakyat.