KUALA LUMPUR - Pas mengumumkan Timbalan Presiden parti
itu, Mohamad Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang, manakala
Naib Presidennya, Datuk Husam Musa pula di Putrajaya, yang kini
disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan juga merupakan Setiausaha Agung Umno.
Husam, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, sebelum ini disebut-sebut akan diturunkan di Putrajaya.
Selain itu, dua lagi Naib Presiden Pas iaitu Datuk Mahfuz Omar dan
Salahuddin Ayub masing-masing akan bertanding di kawasan Parlimen Pokok
Sena di Kedah dan Pulai, Johor.
Pengumuman calon-calon tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad diumum
sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu manakala bekas Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari pula akan
bertanding di Larut, Perak seperti dilaporkan sebelum ini.
Penyanyi Wan Aishah Wan Arifin pula diumum sebagai calon kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan.
Abdul Hadi mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi Marang.
Sebanyak 76 kerusi Parlimen akan ditandingi Pas manakala di peringkat
Dewan Undangan Negeri pula parti itu akan bersaing di 230 kerusi.
Ketika Abdul Hadi ditanya pemberita mengenai masalah pertindihan kerusi
yang berlaku khususnya di Labuan, beliau berkata, perkara itu akan
diselesaikan di peringkat pusat dalam masa terdekat. - SH
Rakyat akan mendapat manfaat yang besar jika memberi peluang PR memerintah dan menjatuhkan Umno-BN.