PAGOH, 29 April — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
hari ini menempelak pakatan pembangkang yang mendakwa Barisan Nasional
(BN) telah tumbang sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13), Ahad ini.
Beliau berkata dakwaan tersebut tidak benar sama sekali memandangkan
beliau telah menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam
lawatannya ke negeri-negeri di seluruh negara semasa tempoh berkempen
sejak Ahad lepas.
“Saya sudah ke Sarawak, Melaka, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Perak.
“Di Melaka tiada masalah kecuali Kota Laksamana, di Negeri Sembilan
Menteri Besar yakin BN boleh menang lebih besar daripada 2008, Wilayah
Persekutuan akan menang sekurang-kurangnya tiga atau empat kerusi
tambahan, di Kedah sambutan luar biasa sehingga ada yang peluk cium
saya.
“Kalau betul caranya Kedah boleh jadi negeri BN semula,” katanya
ketika berucap pada program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Gersik di sini.
Muhyiddin, yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, berkata
walaupun mungkin sukar untuk memenangi semula Pulau Pinang namun beliau
yakin BN akan mendapat pertambahan kerusi.
Katanya di Kelantan pula sudah jelas rakyat sudah tidak mahukan
Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat yang gagal menyelesaikan pelbagai
isu dan memajukan negeri itu.
“Jadi kalau betul pembangkang dah menang, tunjukkan pada saya negeri
mana yang mereka boleh menang besar,” tegasnya sambil disambut tepukan
gemuruh rakyat yang hadir.
Menyentuh mengenai Johor, beliau mempersoalkan kemampuan pembangkang mengambil alih negeri itu yang merupakan kubu kuat BN.
Katanya percubaan penasihat DAP Lim Kit Siang yang mahu bertanding di
Gelang Patah turut tidak disenangi rakyat Singapura yang bimbang
pembangunan di Wilayah Iskandar akan terbantut.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau yakin BN mampu memenangi
pilihan raya umum kali ini sekali gus membentuk kerajaan semula dan
menyambung segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis jamuan makan bersama penduduk
Felda Sri Jaya di sini, Muhyiddin berkata negara memerlukan pemimpin
berwawasan,
mempunyai idea dan berani untuk membawa Malaysia ke tahap negara maju berpendapatan tinggi bagi tempoh tujuh tahun akan datang.
“Sebab itu dalam soal menjaga kebajikan, kita tak boleh berikan kepada orang yang tidak berpengalaman,” katanya.
Beliau sebelum itu turut mengimamkan solat Isyak di Masjid Ubudiah Felda berkenaan.— Bernama
Ramai sebab paksa orang datang atau orang datang kerana hendak makan (bukti ramai rakyat Malaysia yang susah).