KUALA PILAH - "Tangkaplah saya, heretlah saya ke mahkamah. Saya tetap
ulang lagi, (Penasihat DAP) Lim Kit Siang sebagai rasis dan dia memang
rasis".
Demikian respons bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
berhubung kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh semalam bahawa
pembangkang akan menangkap dan menghadapkannya ke mahkamah kerana
mengeluarkan kata-kata hasutan dengan menuduh Lim sebagai perkauman,
jika berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 ini.
Beliau berkata Karpal Singh membuat kenyataan itu kerana mahu
menghalangnya daripada menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sikap
Lim yang didakwanya rasis.
"Terkejut saya, pucat muka saya (nada menyindir)...fasal Pengerusi DAP
Karpal Singh mahu tangkap saya kerana saya mengeluarkan kata-kata
hasutan dengan menuduh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai perkauman.
"DAP hanya mahu bertanding di kawasan majoriti Cina kerana mereka hanya
diterima pengundi di kawasan berkenaan dan tindakan DAP ini ternyata
menunjukkan sikap rasis mereka," katanya semasa berucap pada satu majlis
di Kampung Padang Jual, Johol, di sini hari ini.
Dr Mahathir mendakwa sekutu DAP iaitu Pas juga bersikap rasis kerana
hanya mahu bertanding di kawasan majoriti kaum Melayu terutamanya di
Kelantan dan Terengganu.
Katanya ini berbeza dengan Umno dan MCA yang tidak menunjukkan sikap
perkauman kerana boleh bertanding di mana-mana kawasan di seluruh negara
tanpa mengira majoriti kaum.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan yang juga
Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat bersikap hipokrit
apabila menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di
Putrajaya Jumaat lalu kerana mahu meraih undi di sana.
"Dulu Pas kata mereka nak lelong pusat pentadbiran persekutuan
Putrajaya tapi sekarang tak mahu lelong pula dan mahu menawan Putrajaya
dalam PRU ini...buat la pusat pentadbiran seperti Putrajaya di
Kelantan," katanya.
Turut hadir pada majlis itu isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
dan calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johol Abu Samah
Mahat. - Bernama
Sejak bila MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu dan Umno bertanding di kawasan majoriti Cina. Apa pun pastikan Mahathir tidak berjaya melarikan diri ke luar negara apabila diistihar PR menang.