20 March 2013

Sistem Saraan Transformatif: Cuepacs mahu butiran terperinci

SERDANG - Cuepacs meminta supaya dapat diadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal secepat mungkin bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Sistem Saraan Transformatif (SST).

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sejak SST diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal minggu lepas, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai skim baharu itu.
Bagaimanapun menurutnya Cuepacs tidak dapat memberi jawapan tepat kepada pelbagai isu yang yang ditimbulkan mengenai sistem saraan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia itu kerana pihaknya sendiri, masih samar dalam pelbagai aspek mengenainya.

Menurutnya antara yang sering dibangkitkan ialah soal kumpulan perkhidmatan baharu, soal gred kumpulan, kenaikan pangkat, mekanisma ganti peperiksaan PTK, struktur gaji dan sebagainya.
"Kalau secara rambang kami tahulah, tapi kami nak lebih terperinci, supaya dapat kami jawab soalan-soalan dari anggota kesatuan," katanya dalam persidangan media di pejabat Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama) di Universiti Putra Malaysia di sini, selepas menyampaikan wang insurans kepada dua balu anggota Kepertama di sini.

SST yang diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 di Putrajaya awal minggu lepas ialah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. - Bernama

Kakitangan awam sudah meluat wahai Omar.