Pejabat Perdana Menteri hari ini menafikan bahawa perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membubarkan Parlimen hari ini.
“Khabar
angin yang menyatakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, oleh Perdana
Menteri (Datuk Seri) Najib Razak) tidak benar sama sekali,” kenyataan
pejabat berkenaan dipetik.
Kenyataan itu disiarkan di Twitter pada
kira-kira jam 1 petang, selepas khabar angin berkenaan tersebar luas
melalui SMS dan juga di laman sosial.
Wartawan Malaysiakini
juga dihujani pertanyaan daripada pembaca yang ingin mendapat
pengesahan mengenai khabar angin berhubung pembubaran parlimen itu.
Ramai
pihak menjangkakan Parlimen akan dibubarkan hari ini, selepas Najib
membentangkan kad laporannya berhubung Program Transformasi Ekonomi
(ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam siaran langsung di
kaca TV pada malam tadi.
DUN Negeri Sembilan merupakan dewan undangan pertama yang akan dibubarkan, pada 26 Mac.
Penasihat
DAP Lim Kit Siang sebelum ini menjangkakan bahawa Parlimen akan
dibubarkan pada 25 Mac, sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan.
Lim bagaimanapun berkata, Parlimen juga mungkin dibubarkan lima hari lebih awal daripada 25 Mac.
Tempoh
pentadbiran kerajaan persekutuan berakhir pada 28 April dan pilihan
raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan bahawa pilihan raya akan diadakan serentak untuk kerusi Parlimen dan kerusi DUN.
Kenyataan
PMO hari ini turut menjadi perhatian memandangkan bekas perdana menteri
Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menafikan, pada 12 Februari 2008,
bahawa Parlimen akan dibubarkan pada keesokan harinya.
Abdullah secara rasminya mengumumkan parlimen dibubarkan pada tengahari, 13 Februari 2008 untuk mengadakan pilihan raya ke-12. - Mkini
Cepat Najib, rakyat sudah tidak sabar untuk 'ajar' Umno-BN.