KUALA SELANGOR - Bantuan yang diberikan kerajaan Persekutuan dan
kerajaan pakatan pembangkang menggunakan pendekatan yang berbeza dan
diibaratkan seperti ‘penyu dan ayam’ bertelur, kata Timbalan Pengerusi
Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, kerajaan Persekutuan telah memberikan pelbagai
bantuan termasuk subsidi kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang
malah disampaikan secara terus tanpa perlu mengadakan sebarang majlis
yang diibaratkan sebagai ‘penyu dalam diam bertelur banyak’.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ia
berbeza dengan sikap kerajaan pakatan pembangkang yang menghulurkan
bantuan tetapi pada masa sama menghebahkan serta mengaku kepada rakyat
kononnya mereka prihatin sedangkan bantuan yang diberikan ibarat ‘ayam
telur sebiji riuh sekampung’.
“Budaya kita (kerajaan Persekutuan) selama ini beri macam-macam
bantuan ibarat penyu duduk diam-diam tetapi bertelur banyak. Bukan
seperti mereka (pembangkang) bagi sedikit riuhnya bukan main lagi,”
katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan baucar Karisma@Hati
Rakyat kepada kira-kira 900 penerima di sini petang ini.
Justeru, Noh berkata, apabila kerajaan Persekutuan kini mengambil
pendekatan memberi sumbangan kepada rakyat secara terbuka dan jelas,
maka pembangkang sudah mula gelisah serta mula melemparkan banyak
tuduhan kepada kerajaan persekutuan. - Bernama
Jika Umno bertelur, mengapa takut bubar parlimen?