29 March 2013

Anwar mahu bina dinasti keluarga di Selangor?

KUALA LUMPUR 29 Mac - Hasrat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor mungkin ada kaitan dengan cita-cita suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim membina 'dinasti keluarga' di negeri tersebut.

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, selama ini, rakyat khususnya ahli-ahli PKR dapat melihat Wan Azizah tidak mempunyai kekuatan politik dan peranannya di dalam parti hanyalah sebagai boneka Anwar.

Menurut beliau, Wan Azizah juga tidak mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin parti politik apatah lagi untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
"Saya percaya rakyat Selangor tidak mahu seorang pemimpin lemah menjadi Menteri Besar mereka dan Wan Azizah bakal berdepan risiko ditolak pengundi di mana-mana DUN yang ditandinginya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fakhrul Azman mengulas kemungkinan Wan Azizah bertanding di kerusi DUN di Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan dilantik sebagai Menteri Besar jika pembangkang berjaya mengekalkan kuasa di negeri berkenaan.
Sementara itu, bekas Bendahari PKR Selangor, S. Kottapan meminta Wan Azizah melupakan hasrat bertanding di mana-mana kerusi DUN atau Parlimen di Selangor.

Sebaliknya, beliau menasihatkan Wan Azizah bertanding di Pulau Pinang supaya boleh memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi DUN.
"Mengapa pula Wan Azizah hendak bertanding di Selangor? Adakah kerana Wan Azizah, Anwar dan anak perempuan mereka yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah ingin menguasai Lembah Klang?," katanya.

Dalam masa sama, beliau hairan dengan tindak-tanduk Wan Azizah, Anwar dan Nurul Izzah yang seolah-olah menggunakan PKR sebagai platform membina dinasti politik keluarga mereka. - UTUSAN

Dinasti keluarga yang baik lebih disenangi rakyat berbanding dinasti keluarga yang merompak dan menyamun harta rakyat.