24 March 2013

Gelar pasukan keselamatan sebagai anjing, Badrulamin didesak minta maaf

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron didesak memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menggelar pasukan keselamatan negara sebagai anjing menerusi akaun Twitternya semalam.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berkata, kenyataan itu bukan sahaja berniat jahat malah menunjukkan pembangkang cuba menjadikan pasukan keselamatan negara sebagai 'kambing hitam' demi kepentingan politik mereka.

Menurut beliau, Badrulamin juga tidak menunjukkan sikap seorang pemimpin dengan ilmu agama tinggi seperti yang sering ditonjolkan beliau kepada masyarakat.
"Bagaimana seorang pemimpin yang kononnya mempunyai ilmu agama tinggi tergamak menyamakan manusia khususnya pasukan keselamatan dengan binatang?

"Atas sebab itu, saya mendesak Badrulamin memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang sangat menghina itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan biadab Badrulamin menerusi akuan Twitternya, @drbadrulamin semalam yang berbunyi: "Hei anjing! Pegi tangkap samseng UMNO tu."

Sementara itu, Penaung Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) 1Malaysia Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Ruslee Hashim menyifatkan kenyataan tersebut tidak wajar dikeluarkan mana-mana rakyat Malaysia.
Katanya, pasukan keselamatan yang sentiasa mempertaruhkan nyawa demi keamanan negara tidak sepatutnya menjadi mangsa kejian dan penghinaan sedemikian rupa.

"Pasukan keselamatan yang dihina inilah yang sentiasa bersengkang mata mempertahan dan menjaga keselamatan negara daripada sebarang ancaman ketika orang seperti Badrulamin sedang lena dibuai mimpi.
"Sehubungan itu, mana-mana individu termasuk Badrulamin perlu dikenakan tindakan tegas sekiranya berterusan menghina pasukan keselamatan negara," katanya. - UTUSAN

Siapa yang kata anjing itu adalah pasukan keselamatan? Jika siasat biar adil. Kemungkinan anjing merujuk kepada seekor anjing yang sebenar juga ada.