SHAH ALAM – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
kelmarin yang mahu pembangkang menerima keputusan Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU13) dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara
sebagai tanda ‘ketakutan BN’.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Najib tidak perlu takut
sekiranya Pakatan Rakyat (PR) tewas pada PRU13 kerana sejarah
membuktikan pembangkang tidak melakukan huru hara sejak merdeka.
Menurutnya, kenyataan itu sepatutnya ditujukan kepada kepimpinan BN yang tidak pernah merasai kekalahan di peringkat pusat.
“Tidak perlu bimbang, pembangkang tidak akan melakukan huru hara
seperti yang didakwa. Kami akan menerima keputusan dengan berlapang
dada, apa yang dirisaukan adalah dari pihak lawan.
“Rakyat sekarang juga sudah matang, rakyat boleh menilai setiap
kenyataan-kenyataan pemimpin negara dan tidak akan merosakkan keamanan
yang telah dikecapi 56 tahun lalu. Kami mendukung demokrasi,” katanya
kepada Sinar Harian semalam.
Dakwanya lagi, dalam keadaan semasa yang tidak memihak kepada
pembangkang dan sistem pilihan raya yang tidak bersih, pakatan tiga
parti dalam PR tidak pernah memboikot pilihan raya, malah katanya,
itulah penyumbang kepada demokrasi yang diamalkan negara.
“Bagi kami, kenyataan demi kenyataan yang mendakwa pembangkang akan
menghuru-harakan negara kita ini sebagai satu perang psikologi yang
dilancarkan oleh BN.
“Oleh kerana mereka tahu akan tewas pada PRU13, maka taktik itu digunakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali turut berpendapat
kenyataan Najib dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang
terus menuduh pembangkang akan menghuru-harakan negara sebagai perang
psikologi.
Katanya, pihak yang harus menerima kekalahan pada PRU13 adalah BN dan
jangan sesekali membuat sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara.
“Kita boleh tengok dari segi sejarah, pihak mana yang tidak boleh
menerima kekalahan.Contohnya seperti di Perak, di mana kerajaan PR yang
dipilih rakyat ditumbangkan dengan cara yang keji.
“Selain itu seperti di Terengganu, Pas menang pada Pilihan Raya Umum
1999, maka wang royalti ditarik balik dan ditukarkan kepada wang ihsan.
Ada banyak contoh lain, jadi siapakah yang tidak menerima kekalahan?”
katanya. - SH