SHAH ALAM – Majlis Syura Ulama Pas sedar parti itu tidak dapat
menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU13) jika ia bergerak sendiri sebagai satu parti.
Setiausahanya, Nik Zawawi Nik Salleh berkata, sebelum memutuskan untuk
bersama PKR dan DAP, Pas telah membincangkan perkara itu dalam mesyuarat
Majlis Syura Ulama yang memberi fokus kepada dua aspek iaitu politik
dan dakwah Islamiah.
Menurutnya, hasil perbincangan tersebut, satu keputusan telah diambil
iaitu untuk menggunakan pendekatan tahaluf siyasi (kerjasama) dengan
parti politik lain sebagai langkah membentuk sebuah kerajaan yang bersih
dan adil.
“Kita lawan (sebagai) satu parti, kita tidak mampu menjatuhkan Umno dan
BN. Alhamdulillah, walaupun Pakatan Rakyat (PR) masih baru, tetapi
ternyata boleh gugat BN bahkan berdasarkan kajian penganalisis politik
juga mengatakan Kerajaan Pusat bertukar pada PRU13
ini.
“Itu fokus Majlis Syura Ulama daripada sudut politik dan kami buat
perbincangan dari A hingga Z. Daripada perbincangan, tercetusnya hukum
sama ada boleh atau tidak, wajib atau tidak berasaskan kajian yang kita
buat,” katanya.
Katanya, Pas menyedari perkara itu memandangkan BN mempunyai banyak
parti komponen dan agak sukar untuk Pas menentang kekuatan itu secara
bersendirian
“Jika Pas tidak bergabung dengan parti lain dalam masyarakat majmuk,
kemudian mahu lawan BN yang ada parti politik pelbagai, kita tidak akan
mampu tumbangkan mereka.
“Sehingga akhir-akhir ini, kami mendapat lambaian daripada beberapa
parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk turut sama bergabung bagi
menguatkan barisan,” katanya.
Selain fokus politik, katanya, Pas turun menekankan dakwah Islamiah
bagi memperbetulkan persepsi masyarakat bukan Islam di negara ini
terhadap Islam lantaran mereka sebelum ini ditakut-takutkan oleh orang
Islam sendiri.
“Ini mendukacitakan kerana ia berlaku daripada golongan mereka ada ilmu
agama yang mengatakan Islam tidak sesuai dengan masyarakat majmuk
termasuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
kononnya negara Islam tidak boleh diwujud dalam masyarakat majmuk.
"Ia menyebabkan masyarakat bukan Islam jadi kabur sedangkan agama Islam diturun ALLAH untuk semua,” katanya. - SH