14 January 2013

Kalimah ALLAH: Nik Aziz akur keputusan Majlis Syura

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah ALLAH pada Bible versi bahasa Melayu seperti diminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menukar pendirian dan sebaliknya cuba menjelaskan kenapa kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.

Majlis Syura Pas malam tadi memutuskan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh bukan Islam berikutan kemarahan masyarakat Islam terutama mufti dan cendekiawan Islam terhadap pendirian asal Nik Aziz dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong saranan DAP itu.
 
Akur dengan keputusan Majlis Syura yang turut dihadirinya, Mursyidul Am Pas itu berkata, keputusan itu dibuat kerana khuatir ia bertentangan dengan maksud sebenar kalimah itu seperti umat Islam yang percaya bahawa ALLAH itu adalah Esa (Satu).
  
"ALLAH ini adalah nama bagi Tuhan. Kita (Islam) namakannya (ALLAH). Jadi kalau ada orang lain, agama lain yang tidak mempunyai tuhan yang satu tiba-tiba mahu menggunakan nama ALLAH, itu tidak betul.
  
"ALLAH itu adalah tuhan yang Satu. Yang Maha Berkuasa. Kalau agama lain yang (mempunyai) tuhannya tidak satu atau lebih, itu mengarut. Kalau nak guna boleh, tapi salahlah (maksud sebenar)," katanya kepada pemberita sewaktu pulang dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
      
Beliau memberi contoh penganut Kristian percaya kepada Trinity yang sama sekali tidak boleh menggunakan kalimah Allah kerana tidak menepati maksud sebenar.
  
Majlis Syura Pas telah memutuskan kalimah ALLAH adalah kalimah khusus yang ALLAH menamakan diri-Nya ALLAH dan oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.

Selain itu majlis itu juga memutuskan mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemahkan kepada kalimah ALLAH.  

Sebelum ini Pas, DAP dan PKR membuat ketetapan bahawa kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut semua agama tetapi dengan syarat tidak disalahgunakan.  - Bernama