13 January 2013

Rindu nak dengar suara suami alami strok

Noriyah sayu melihat keadaan Kadir yang 
terlantar dan rindukan suara suami tersayang
di rumah sewanya di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Kasih sayang seorang isteri hingga ke syurga. Itulah dapat digambarkan pengorbanan Noriyah Mohd Nor, 61, yang setia menjaga suami, Abdul Kadir Abdul Halim, 72, yang terlantar hampir tiga tahun lalu.

Noriyah berkata, suaminya mula terlantar setelah rebah di ruang tamu rumah sebelum koma dan terpaksa menjalani pembedahan otak bagi membuang darah beku akibat tekanan darah tinggi yang melampau.
“Pada masa itu, dia duduk di atas kerusi di ruang tamu, secara tiba-tiba rebah dan terus tidak sedarkan diri dan terpaksa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

“Setelah dua minggu tidak sedarkan diri di sana, saya memohon untuk dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kemudiannya dibawa pulang,” katanya menerusi program Cakna Prihatin di rumahnya di Jalan Tekukur di sini.

Turut hadir, Pegawai Pembangunan Dun Ladang, Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada Kadir yang kini turut mengalami strok.
Menurut ibu kepada 10 anak itu, kerusi roda yang diterimanya amat bermakna kerana dapat mandikan Kadir dalam keadaan lebih selesa.

“Sebelum ini, badannya terpaksa disandarkan pada mesin basuh untuk memudahkan saya mandikan dia.
“Memang sedih melihat keadaan dia yang terpaksa disandarkan pada mesin basuh, tetapi saya juga tidak mempunyai kudrat dan tidak sampai hati untuk baringkan dia terus di atas lantai bilik air,” katanya.
Begitu hebat kesetiaan Noriyah yang turut mengalami penyakit kencing manis.

“Walaupun saya mempunyai penyakit, tetapi demi suami, saya gagahkan diri memenuhi semua kehendaknya termasuk memberi minum susu empat jam sekali.
“Susu 400 gram ini digunakan untuk satu hari sahaja, kerana dia tidak makan makanan. Itu pun saya masukkan melalui wayar kerana dia tidak berdaya untuk menelan,” ceritanya lagi.

Dalam kepasrahan Noriyah menjaga suami terlantar, dia meluahkan perasaan rindu mendengar suara Kadir, teman bualnya sejak puluhan tahun dahulu. - SH