14 January 2013

Kalimah ALLAH: Pendirian Majlis Syura selari Nik Aziz-Hadi

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
SHAH ALAM – Majlis Syura Pas menegaskan pendirian yang dibuat pihaknya malam tadi berhubung kalimah ALLAH selari dan selaras dengan kenyataan Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Sehubungan itu menurut Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, ketetapan begitu diambil kerana kebenaran mengenai ALLAH mesti ditegakkan.

“Majlis Ulama Pas berharap isu kalimah ALLAH ini ditangani dengan baik oleh kerajaan kerana urusan penterjemahkan buku-buku dan kitab Injil ini adalah urusan Kementerian Dalam Negeri.

“Seharusnya Kementerian Dalam Negeri mengambil penegasan dalam perkara ini dan jangan sesekali menuding jari kepada orang lain kerana perkara ini berada dalam bidang kuasa kementerian berkenaan,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Lewat malam tadi, Majlis Syura memutuskan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah ALLAH, namun ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah ALLAH, kata kenyataan dikeluarkan Majlis Syura.

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan ALLAH tidak dibolehkan kerana ia salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kata Nik Aziz dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din dalam satu kenyataan rasmi Majlis Syura.

Ketika diminta mengulas kenyataan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan pada 8 Januari lalu yang bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah ALLAH walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam, Nik Zawawi menafikan perkara itu.

“Kita tak pernah kata macam itu. Kalimah ALLAH ini kalau orang bukan Islam nak guna dalam urusan harian seperti kalau dia bertemu dengan orang Islam, dia nak bagi salam kepada kita dan sebagainya, Majlis Ulama tidak buat satu ketetapan.

“Perkara ini juga berlaku di zaman jahiliah dan pada zaman Rasulullah SAW, di mana orang bukan Islam dalam percakapan mereka, mereka menggunakan perkataan ALLAH. Pada masa sekarang, misalnya orang bukan Islam datang dalam ceramah Pas, orang Pas sebut
takbir 'Allahuakbar'... itu tidak mengapa.

“Secara mudahnya, boleh sebut, yang tidak boleh ialah menterjemahkan kitab mereka kepada bahasa dengan kalimah ALLAH,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana penerimaan Setiauasaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai penetapan itu, Nik Zawawi mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menerimanya dengan baik.

Katanya, penjelasan itu telah dibuat sendiri oleh Hadi Pas dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, minggu lepas.

“Benda ini telah dibuat. Alhamdulillah, Guan Eng mendengar dengan baik dan hanya mendiamkan diri. Apabila dia minta begitu (penggunaan kalimah ALLAH untuk Bible versi bahasa Melayu), kita sebut di sudut pendirian Pas.

Majlis Ulama tidak membenarkan orang bukan Islam mahu terjemah kalimah ALLAH kepada kitab orang Kristian iaitu Bible,” katanya lagi.
Nik Zawawi menambah, selepas penjelasan itu dibuat kepada Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Hadi telah mengeluarkan satu kenyataan yang sama sekali tidak bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura.

“Cuma orang silap faham. Saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Bila kita dah buat ketetapan ini, kita minta kepada semua Islam untuk terima ketetapan ini.

“Ketetapan ini adalah terbaik untuk agama Islam dan semua agama lain yang ada di Malaysia. Kita juga meraikan hak-hak mereka (orang bukan Islam) tidak ada masalah, cuma mereka tidak boleh cemar kalimah ALLAH kerana kalimah ini adalah dikhususkan oleh orang Islam sahaja,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut mengenai keputusan mesyuarat malam tadi, Nik Zawawi berkata, ALLAH mengikut kebenarannya menunjukkan Dia adalah Tuhan yang Maha Esa yang Maha Satu yang tidak beranak dan tidak diperanakkan ataupun mempunyai isteri.

“Apabila perkataan ALLAH hendak digunakan oleh masyarakat Kristian, maknanya lari, kerana orang Kristian mengatakan ALLAH ini ada anak dan sebagaimana disebut dalam al-Quran yang mengatakan ALLAH ini ada tiga. Ada anak ada isteri. Kita tegaskan di sini, itu bukan ALLAH SWT.
“Jadi masyarakat Kristian, mereka hanya dibenarkan menggunakan perkataan God atau Lord. Itu ikut pandai dialah. Kita tidak terima perkara ini,” jelasnya. - SH