04 October 2012

Sharifah Sofia mahu terus belajar

Sharifah Sofia
SETELAH berhijrah daripada kehidupan alpa kepada dunia yang lebih celik agama, ada sesetengah barisan artis mula mencari peluang mendekati dunia politik. Seolah-olah perubahan itu akan dilihat lebih melengkapkan lagi penghijrahan mereka dalam niat untuk mencari kehidupan yang lebih sempurna dan diberkati.

Ada yang memilih untuk menyertai politik, tidak kisahlah parti penyokong aspirasi kerajaan mahu pun pro-pembangkang. Maka tidak hairanlah, datang dari latar belakang bagaimana sekalipun, banyak artis yang menjadikan tiket ‘hijrah’ sebagai landasan untuk mereka bersilat di gelanggan politik, mencari sasaran peminat baru, selain rezeki dalam bidang yang juga baru itu.

Namun bagi Sharifah Sofia, dia mahu mengelak perkara berkenaan daripada menganggu kehidupannya.
Perubahan dirinya, tidak ada kena mengena dengan isu lain, selain daripada keinginannya mencari takwa dan reda Allah.

“Saya tak nak ada kena mengena dengan hal politik setelah berhijrah ini. Lagi pun saya bukannya jenis orang yang mahu terlibat dalam politik. Lagi selesa rasanya jika saya tidak ada kena mengena dengan perkara ini. Saya tidak mahu terikut-ikut dengan apa yang orang lain lakukan.

“Di samping keluarga, banyak lagi perkara lain yang saya perlu berikan perhatian dalam kehidupan. Saya tidak akan buat perkara yang saya kurang minat, termasuklah berada di pentas politik," ujar ibu kepada seorang anak perempuan ini.

Lupakan kisah silam
Bercerita mengenai masa silam, sememangnya setiap daripada kita mempunyai kenangan tersendiri. Mengenang kisah masa lampau tidak salah kerana kita akan menjadi lebih bijak dalam mengatur langkah untuk menerangi masa hadapan.

Berpaksi pada niat yang betul untuk mendalami ilmu agama, kini Sharifah Sofia benar-benar mahu mencari pelengkap dalam kehidupannya.
Tidak mahu menjadikan kisah lampau sebagai halangan kepadanya untuk menempuh masa hadapan, Sofia memberitahu bahawa ketika ini dia mahu menimba secukup ilmu agama.
“Kalau boleh saya tidak mahu pandang ke belakang semula. Mengenai kisah saya ke kelab malam itu rasanya tidak perlu untuk digembar-gemburkan lagi.

“Apa yang dah berlaku, biarkan ia berlaku. Lagipun perkara ini dah berlaku dua bulan lepas. Dah basi dah pun. Biarlah ada orang nak nilai apa mengenai saya mengenai hal tersebut.
“Buat masa sekarang, saya perlu tumpukan perhatian kepada masa depan dan juga keluarga. Tak perlu nak sakit kepala untuk fikir perkara yang dah berlaku," ujarnya jujur.

Selain itu Sofia menambah, dia mahu meneruskan pencarian ilmunya dalam bidang agama bagi memastikan segalanya lengkap bagi menghadapi hari mendatang.
“Apa yang penting, saya perlu sentiasa mencari dan juga bertanya mengenai perkara yang tidak ketahui dalam agama. Saya juga tak nak belajar sendiri, takut tersalah faham nanti, susah pula.
“Jika ada kerunsingan, saya akan bertanyakan soalan kepada mereka yang lebih arif mengenai soalan saya.
“Ini tekad saya dalam menghadapi kehidupan ini dan tidak mahu memikirkan sangat mengenai perkara negatif, risau perkara yang tidak diingini itu akan berlaku.

“Saya mahukan perkara yang positif supaya jiwa lebih tenang," jelasnya bersungguh.
Rindu
Setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen, Sofia mengakui dia sememangnya sangat merindui bidang lakonan.
Namun hasratnya itu sedikit terbatas kerana ketika ini dia sedang sibuk menguruskan sendiri anak pertamanya bersama suami tercinta, Syed Ismail Syed Ibrahim Al-Ali iaitu Sharifah Ariana, yang baru berusia satu tahun enam bulan.

“Kalau ikutkan, saya memang rindu sangat nak berlakon kembali. Tapi buat masa sekarang, saya tidak boleh meletakkan komitmen penuh terhadap lakonan kerana masih menyusukan anak.
“Saya tidak akan paksa dia berhenti daripada menyusu badan. Jika dia sudah tidak menyusu nanti, barulah saya rasa agak mudah untuk menerima tawaran berlakon.

“Tapi kalau muncul untuk cameo atau babak yang sedikit, tidak ada masalah," jelasnya sopan.
Selain itu, Sofia juga sudah mampu menjangka, jika ada tawaran yang akan diberikan kepadanya selepas ini, ia pastinya merupakan sesuatu pengalaman yang berbeza dan baru baginya.
“Sekarang saya sudah bertudung dan kalau hendak dibandingkan dengan watak saya ketika dulu, memang jauh bezanya.

“Jujurnya saya memang tidak sabarlah untuk kembali berlakon dalam satu persekitaran serta pengalaman baru setelah saya berhijrah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rekaan terbaru jenama pakaian Cosry yang diadakan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Jika kebanyakan barisan artis wanita lain muncul dengan produk masing-masing seperti tudung, jubah dan pelbagai lagi aksesori wanita yang lain, dalam diam, Sofia juga turut mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan sendiri.

Menurut Sofia, dia mahukan sesuatu yang berbeza dan cuba lari daripada kebiasaan seperti yang telah banyak produk yang berada di pasaran.
“Saya merancang untuk membuka perniagaan berkaitan dengan keluarga. Ia mungkin akan melibatkan hal-hal mengenai penjagaan bayi, pemakanan dan pelbagai lagi perkara yang berkaitan dengan keluarga.
“Kenapa saya pilih perkara yang berkaitan dengan keluarga? Ini kerana bagi saya, keluarga merupakan salah satu perkara yang cukup penting dan tidak boleh dipandang remeh.

“Insya-Allah jika ada rezeki, perkara ini akan diteruskan. Cuma buat masa sekarang, biarlah saya susun dengan teliti perancangan yang ingin saya lakukan satu demi satu," jelasnya.
Jelas dengan hala tuju yang ingin dipilihnya, ternyata Sharifah Sofia kini semakin bijak mengatur langkah bagi memastikan kehidupan yang sempurna dan lebih tenang. - Utusan