04 October 2012

SPA Cadang Tambah Baik Penstrukturan Gaji Penjawat Awam Berijazah - KSN

Ali
IPOH: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bercadang menambah baik mekanisme penstrukturan gaji penjawat awam yang mempunyai kelulusan ijazah selaras dengan matlamat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan awal.
"Kami sedang mengkaji kemungkinan...siswazah yang bermula kerja dengan gred 41 boleh naik sehingga jawatan KSN tetapi tidak semua orang boleh naik keperingkat itu kerana terdapat 1.4 juta penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Suruhanjaya-Suruhajaya Perkhidmatan Awam disini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendapatan penjawat awam menjelang 2020.
Ali berkata pihaknya telah memberi idea itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dikaji kerana ia melibatkan implikasi kewangan kerajaan.

"Kami tidak boleh laksanakannya dengan serta merta...kerana ia perlu melalui proses, langkah demi langkah. Kami perlu melihat setiap skim (perkhidmatan),"katanya.

Katanya antara mekanisme penstrukturan yang dipertimbangkan ialah kenaikan gred berdasarkan tempoh perkhidmatan seperti yang dilaksanakan oleh SuruhanjayaPerkhidmatan Pelajaran.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara memuji prestasi penjawat awam diperingkat persekutuan dan negeri.

Sepanjang program dua hari beliau di Perak sejak semalam, Ali antara lain melawat kawasan rumah pangsa Waller Court, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen di sini.
- BERNAMA
UmnoBN perintah - Pendapatan tinggi tapi harga barang perkhidmatan tinggi juga.