02 October 2012

Hishammuddin: Indeks jenayah bukan lagi keutamaan NKRA, persepsi rakyat jadi tumpuan

polis
KUALA LUMPUR, 2 Okt — Indeks jenayah tidak lagi menjadi keutamaan dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) jenayah oleh kerana kerajaan akan memfokuskan kepada persepsi rakyat berkenaan dengan jenayah, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurut menteri dalam negeri itu, kerajaan akan memastikan kebimbangan orang ramai terhadap peningkatan jenayah akan dapat dikurangkan.

“Isunya sekarang bukan indeks. Itu kita cukup yakin,” kata beliau dalam sidang media di Maktab Polis Di Raja Malaysia (PDRM) hari ini.
“Isunya bukan dari segi sasaran jenayah jalanan tetapi ‘goal post’nya telah berubah kerana tuntutan semasa.

“Ini semua akan dibincangkan dan diumumkan dalam fasa kedua NKRA kita.”
Tambah Hishammuddin lagi, kerajaan akan melihat persepsi, perasaan dan realiti rakyat dengan lebih serius sehingga majoriti rakyat sudah merasa selamat.

“Selagi rakyat tidak merasakan diri mereka selamat untuk jenayah-jenayah yang tidak diberikan tumpuan sebelum ini seperti pecah rumah, jenayah di pusat-pusat membeli belah.
“Bukan kita tidak beri perhatian tetapi tumpuan peringkat fasa pertama adalah kes-kes jenayah jalanan.

“Jadi kalau kita nak ubah perhatian di taman-taman perumahan misalnya, bagaimana kita nak melibatkan masyarakat teramai untuk bersama-sama dengan usaha kita ini.

“Ini semua adalah pendekatan baru dibawah fasa kedua sebab itu insentif cukai kepada pertumbuhan penduduk, one off grants dan juga insentif cukai kepada pemilik pusat membeli-belah,” katanya.

Menurut Hishammuddin, Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak di parlimen Jumaat lalu benar-benar memberi pengiktirafan terhadap PDRM dan serius dalam program NKRA Jenayah.

“Tambahan peruntukkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) 4.4 peratus tetapi tambahan kepada NKRA Jenayah, 68.8 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan serius melihat NKRA Jenayah ini beralih dari fasa pertama ke fasa kedua dan akan kita umumkan dalam jangkamasa terdekat pendekatan-pendekatan baru.
“Buat pertama kali termaktub dan diumumkan dalam secara hitam putih dalam bajet tentang penambahan bilangan perjawatan baru PDRM.

“Masa terakhir tambahan itu disebut sebagai satu keutamaan adalah selepas 13 Mei 1969,” katanya lagi. - TMI

Tukar kulit tapi isi sama?