07 September 2012

Khutbah Jumaat Jakim selar pijak gambar, 'tukar' bendera

Siapa mahu menukar bendera? 
Kalau Khatib pun begini 
bayangkan orang biasa di luar sana.
Khutbah Jumaat terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyelar tindakan menghina pemerintah, antaranya dengan memijak gambar dan mahu menukar bendera negara ini.

Dipercayai merujuk kepada insiden dalam perhimpunan Janji Demokrasi di ibu negara pada malam ambang merdeka, mimbar juga menegaskan tuntutan mentaati dan menghormati pemerintah.

"Namun, persoalan besar timbul pada hari ini, mengapakah terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri sehingga sanggup menghina pemimpin dan negara, memijak gambar pemimpin serta sanggup membakar dan menukar bendera negara?" khutbah itu dipetik.

Khutbah bertajuk "Kesetiaan kepada Pemerintah" itu juga menyebut, insiden sebegitu menunjukkan semangat patriotik telah terhakis dan dipengaruhi oleh anasir luar yang cuba menjatuhkan martabat pemerintah dan negara ini.

"Perbuatan sebegini adalah mencerminkan rendahnya akhlak, tidak berintegriti, tidak bertamadun dan biadab.

"Mimbar ingin menyatakan bahawa dalam semua aspek umat manusia perlulah membina semangat patriotik kerana ia menjamin kesejahteraan dan kecintaan rakyat kepada negara," menurut khutbah itu lagi.

Sementara itu, khutbah juga menegaskan pendirian Ahli Sunah wal Jamaah supaya mentaati pemerintah, yang merujuk kepada:
  • Mentaati dalam urusan kebaikan, termasuk merealisasikan perintah yang makruf dan membantu dalam urusan kebaikan yang diperlukan.
  • Menghormati dan memuliakan kedudukan pemerintah serta sentiasa mendoakan kebaikan kepada mereka.
  • Melaksanakan kebaikan bersama pemerintah.
  • Membenci maksiat dilakukan pemerintah dan mengingkari keburukannya dengan cara nasihat dan kaedah berlandaskan syarak.
  • Tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan dan tidak menghina atau mencela mereka.
"Islam mengajar umatnya agar kasih kepada pemerintah dan negara kerana ia sebahagian daripada tanda keimanan," kata khutbah itu lagi. - Mkini