JAKARTA - Ketua Pegawai Eksektuif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony
Fernandes, yang baru saja memindahkan operasi syarikatnya dari Kuala
Lumpur ke kota raya Jakarta, telah diminta melibatkan diri dalam arena
bola sepak Indonesia.
Tuan punya kelab Queens Park Rangers (QPR), England itu berkata beliau
sebenarnya ditawarkan untuk membeli sebuah kelab bola sepak Indonesia.
"Saya berminat, ini satu penghormatan kerana ada orang meminta saya
melibatkan diri dalam bola sepak Indonesia. Jadi, kita tunggu dan lihat,
ini begitu mengujakan," kata beliau dalam temubual selepas pelancaran
AirAsia Asean, pejabat pangkalan rantauan di sini semalam.
Fernandes bagaimanapun enggan menamakan kelab bola sepak yang membuat tawaran itu.
Menurut laporan media asing, Tune Group milik Fernandes membeli 66
peratus taruhan dalam kelab QPR tahun lepas daripada ketua Formula One
Bernie Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore, dengan baki saham kekal
di tangan keluarga Lakshmi Mittal, seorang bilionair besi waja.
Urusniaga itu bernilai 35 juta paun. - SH
