KOTA BHARU 7 Ogos - Adalah haram dan berdosa
untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang
penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.
Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berkata, umat Islam
juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau
menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan
turut membawa kemenangan kepada DAP.
Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC
dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi
iaitu tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.
"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama
rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata. Wajib
orang Islam dalam Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak DAP
yang mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan
raya.
"Parti-parti yang bekerjasama dengan DAP juga berdosa disokong kerana
sokongan kepada mereka bermakna kita juga menyokong DAP sebab mereka
satu pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mempersoalkan hukum dalam
Islam mengenai tindakan ahli Pas mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum
Ke-13.
Menurut Ibrahim, persoalan itu perlu dijawab Pas kerana adalah jelas
Pengerusi DAP, Karpal Singh dan keseluruhan pemimpin parti tersebut
ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan
hukum hudud.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, DAP berbeza dengan MCA dan MIC
yang menjalin kerjasama dengan UMNO dalam BN kerana parti tersebut tidak
bermusuhan dengan Islam malah sedia menerima pemerintahan Islam.
"Sebaliknya, DAP tidak mahu, mereka mahu hak sama rata, tidak mahu
tinggi rendah, tidak mahu Islam tinggi, sifat harbi mereka sangat jelas
iaitu menentang hukum hudud dan penubuhan negara Islam.
"Saya menyeru orang Melayu dan umat Islam supaya pada pilihan raya
umum akan datang jangan sokong Pas yang masih tidak mahu keluar daripada
pakatan pembangkang, sokong UMNO dan BN supaya orang Melayu dan syiar
Islam terus dimartabatkan," katanya. - Utusan
* Selama ini Malaysia diperintah oleh UmnoBN. Mana undang-undang Islamnya? DAP tidak pernah perintah selama ini. Untung Umno hanya ke atas kebodohan rakyatnya. Itu sebab mereka sentiasa 'melembukan' rakyat...
