KUALA LUMPUR 7 Ogos - Nampaknya bukan mudah bagi
rakyat Malaysia untuk memaafkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota
Alam Shah, M. Manoharan atas keceluparannya mengeluarkan kenyataan
memperlekehkan semangat juang pemain badminton negara, Datuk Lee Chong
Wei di temasya Olimpik London.
Walaupun wakil rakyat DAP itu telah membuat permohonan maaf terhadap
Chong Wei dan keluarganya kerana tindakan memuat naik kenyataan yang
menimbulkan kemarahan banyak pihak menerusi Twitter semalam, rata-rata
rakyat Malaysia tidak boleh menerima sikap Manoharan itu.
Di laman sosial Facebook milik Manoharan, seorang rakyat Malaysia, Amirthanathan Anthony berkata:
"Anda sepatutnya memikirkan kesan sebelum membuat kenyataan itu. Anda
bukan sahaja Manoharan Malayalam tetapi juga wakil rakyat sebuah parti.
Apabila anda membuka mulut, tidakkah anda tahu ia juga akan beri kesan
kepada parti. Kerosakan telah berlaku dan saya tidak pasti jika Chong
Wei dan keluarga serta orang ramai akan memaafkan anda."
ADUN DAP itu semalam memuat naik beberapa kenyataan menerusi Twitter
yang mempersenda dan memperlekehkan kekalahan Chong Wei ketika menentang
pemain China, Lin Dan di sukan Olimpik London untuk merebut pingat
emas.
Tindakan itu menyebabkan rakyat Malaysia berang dan kesal dengan
sikap pemimpin pakatan pembangkang itu yang cuba mempolitikkan sukan
walaupun Chong Wei telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi
pingat emas.
Laman Facebook Kami Tuntut Manoharan Mohon Maaf Kepada Lee Chong Wei
pula semakin panas apabila rata-rata rakyat Malaysia yang memberi komen
masih marah dengan kenyataan Manoharan dan tidak dapat menerima
permohonan maafnya hari ini.
Malah, mereka menuntut agar Manoharan membuat sidang akhbar rasmi
bagi menyatakan permohonan maaf terhadap Chong Wei dan juga kepada
seluruh rakyat Malaysia yang menyokong penuh semangat juang pemain
badminton itu.
Muhammad Alif Azrai Norizan di laman itu berkata: "Saya tuntut
Manoharan mohon maaf bukan sahaja kepada Lee Chong Wei malah kepada
semua 28 juta rakyat Malaysia yang beri sokongan padu kepada beliau."
Ada juga yang mendesak supaya Manoharan bersemuka dengan Chong Wei
bagi meminta maaf dan bukan sekadar membuat kenyataan yang menyesali
tindakannya sebelum ini menerusi Twitter sahaja.
Amelia Abiden pula berkata, sekiranya Manoharan berasakan beliau
hebat, beliau wajar membuat kenyataan maaf secara terbuka dan berdepan
dengan Chong Wei sendiri.
Mohd. Sorfy pula mempersoalkan tindakan Manoharan yang hanya memohon
maaf melalui Twitter dan menggesa wakil rakyat DAP itu membuat sidang
akhbar serta bukan sekadar memohon maaf kepada Chong Wei tetapi kepada
seluruh rakyat Malaysia yang 'naik hantu' gara-gara kenyataan Manoharan
itu.
Kim Shidee pula menganggap permohonan maaf Manoharan itu tidak boleh
diterima kerana orang yang boleh dimaafkan adalah mereka yang melakukan
kesilapan tetapi Manoharan bukan melakukan kesilapan sebaliknya sengaja
mencipta suasana tidak baik memandangkan ia bukan kali pertama wakil
rakyat DAP itu melakukan perkara seperti itu.
Katanya, sebelum ini Manoharan sudah berkali-kali membuat kenyataan
mempersendakan banyak pihak lain yang jelas menunjukkan beliau mempunyai
masalah sikap.
Kaiyan Lee pula berasakan permohonan maaf Manoharan itu tidak ikhlas
dan mungkin dilakukan atas desakan pemimpin atasan partinya serta takut
dengan desakan rakyat Malaysia sendiri.
Daeng Hakim pula berkata: "Sepatutnya seorang ADUN macam dia tunjuk
contoh yang baik. Jangan disebabkan kepentingan politik, sukan pun nak
dijadikan sasaran untuk berpolitik. Sepatutnya sukan yang dapat
menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, pangkat, agama, fahaman
mahupun ideologi.
"Sepatutnya ADUN macam dia lebih peka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia yang penuh dengan semangat kewarganegaraan." katanya.
Dalam perkembangan sama, beberapa rakan Twitter yang kecewa dengan
tindakan Manoharan sebelum ini menyifatkan permohonan maaf wakil rakyat
DAP itu sudah terlambat.
M. Anantha Saravana ketika membalas kenyataan yang dimuat naik
Manoharan itu berkata: "Sudah terlalu lambat untuk memohon maaf. Orang
ramai sudah tahu perangai pemimpin pakatan pembangkang."
Thiaga Rajan pula dengan ringkas membalas kenyataan Manoharan itu dengan bertanya: "Mohon maaf lagi??? Sudahlah YB" sementara NurAkmalAzis pula menyifatkan permohonan maaf Manoharan itu sebagai sesuatu yang palsu. - Utusan
* Rakyat tolak permohonan maaf siapa? Manoharan atau Chong Wei (menghampakan 28 juta rakyat Malaysia)...
