03 August 2012

Situasi Syria runcing, Annan undur Duta Khas

NEW YORK - Duta khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan yang dilihat kecewa dan gagal dalam misinya, akan melepaskan jawatan beliau akhir bulan ini di sebalik peningkatan pertempuran dan keganasan di Syria sejak kebelakangan ini.

Jun lalu, Annan pernah berkata Syria sedang berada di ambang perang saudara. Keputusan itu dilihat sebagai satu tamparan ke atas usaha mencari penyelesaian kepada konflik lebih 17 bulan.


Setiauasaha Agung PBB, Ban Ki-moon mengumumkan bahawa Annan memutuskan untuk tidak menerima tawaran mandat jawatannya disambung apabila ia berakhir penghujung bulan ini.

Annan, bekas Setiausaha Agung PBB, sebelum ini mengusahakan pelan damai enam perkara bagi menamatkan konflik di Syria, yang berlarutan sejak awal tahun lalu.

Ki-moon berkata, beliau sedang berunding dengan Liga Arab untuk mencari penggantinya bagi meneruskan usaha mencari damai di Syria.
Annan dilantik sebagai Duta Khas Februari lalu dan telah mengadakan dua pertemuan dengan Presiden Syaria, Bashar al-Assad.

Antara lain, beliau juga mengutarakan idea kerajaan perpaduan di negara dalam usaha mencari penyelesaian.
"Saya kekal yakin bahawa pertumpahan darah bukan jawapannya, setiap hari hanya akan menjadikan penyelesaian semakin sukar, dengan membawa keadaan ke arah lebih buruk," kata beliau.
Usaha Annan yang disokong oleh masyarakat antarabangsa memfokus usaha mengakhiri penggunaan senjata berat, memudahkan penyaluran bantuan, kebebasan media dan demonstrasi, dan proses politik diterajui rakyat Syria bagi memenuhi aspirasi dan kebimbangan rakyat negara itu. - SH