PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka
yang sudah hilang kepercayaan ke atas Umno dan jika mahu terus
bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 boleh menyertai Pakatan Rakyat
(PR).
"Jika mereka mahu terus bertanding dalam PRU, mereka yang 'lompat
parti' ini, mesti menyertai mana-mana parti komponen dalam PR.
"Perlu ikut undang-undang yang sedia ada untuk menjadi calon dalam PRU," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.
Ketua Umum PR dan Ketua Pembangkang di Parlimen ini diminta mengulas
isu melibatkan Datuk Seri Lajim Ukin, yang mengumumkan peletakan
jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian
Beaufort, Sabtu lalu.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu
(UPKO), Datuk Wilfred Bumburing juga telah meletakkan jawatan sebagai
Pengerusi Barisan Nasional (BN) bahagian Tuaran, Ahad lalu.
Anwar turut berkata yang 'lompat parti' bukan satu isu kerana apabila
seseorang telah hilang kepercayaan dalam parti, pasti akan keluar dan
mencari parti lain yang berhaluan lain.
"Apabila keluar parti, mereka tetap mempunyai banyak pilihan untuk
sertai mana-mana parti dalam PR bagi meneruskan perjuangan dan saya beri
galakan kepada mereka untuk sertai kami dalam perjuangan PR,
"Asalkan mereka tidak menyokong Umno, saya tidak kisah kerana isu 'lompat parti' adalah pilihan individu," jelas Anwar. - SH