PAS tidak menghalang wakil rakyatnya untuk berkahwin lebih daripada satu
asalkan berkemampuan dan memenuhi syarat-syarat untuk berpoligami, kata
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kita
tidak boleh sekat mereka (wakil-wakil rakyat PAS) nak kahwin berapa
pun, walaupun sampai empat orang, itu masalah peribadi dan ia tidak
bercangah dengan Islam asalkan ikut peraturan dan syarat-syaratnya,"
kata menteri besar Kelantan itu.
Nik Abdul Aziz berkata demikian
kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu
di Kota Baharu, hari ini.
Beliau mengulas senario ramai wakil
rakyat dari parti itu berkahwin lebih daripada satu termasuk dakwaan
melalui blog dan Twitter yang mendakwa seorang anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) di negeri itu telah mengahwini selebriti Abby Abadi (bawah) yang baru-baru ini menyertai PAS.
Bagaimanapun, ADUN berkenaan menafikan beliau berkahwin dengan selebriti itu.
Nik Abdul Aziz berkata berkahwin ramai tidak menjadi kesalahan kerana ia menjadi hak peribadi seseorang.
Ditanya
apakah tindakan sesetengah pemimpin politik PAS yang kahwin ramai itu
boleh menjejaskan politik mereka, Nik Abdul Aziz berkata: "Itu dia punya
pasal.
"Berkahwin boleh tapi biar dia fahamlah syarat, jangan
semata-mata nak puaskan nafsu, jangan...(kerana) isteri hamba Allah
juga. kewajiban kita jaga hamba Allah... Dia (isteri) izin, dia puas
hati tak apa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz
berkata kerajaan negeri Kelantan juga akan membayar setengah bulan gaji
dan bonus RM500 kepada kakitangan awamnya sebagaimana dilaksanakan
kerajaan pusat, sebelum hari raya ini.
"Perkara ini telah diputuskan di dalam perbincangan di peringkat negeri dan saya sendiri tanda tangan (kelulusan)," katanya.
- Bernama