09 August 2012

Hoy atlet terhebat Britain

Chris Hoy dijulang pegawai kontinjen basikal trek Britain selepas mengesahkan pingat emas acara keirin pada Olimpik 2012 di London, kelmarin. - REUTERS
LONDON - Jaguh basikal trek Britain Chris Hoy dinobatkan sebagai atlet Olimpik Britain paling cemerlang selepas meraih emas keenam dalam kariernya pada Sukan Olimpik setelah memenangi acara keirin semalam.


Pelumba Jerman, Maximilian Levy menamatkan saingan di tempat kedua untuk meraih perak sementara atlet New Zealand, Simon Van Velthooven dan Teun Mulder dari Belanda berkongsi pingat gangsa.
Hoy memenangi tiga pingat emas Olimpik dalam acara pecut, keirin dan pecut berpasukan empat tahun lalu untuk menambah koleksi emas dalam ujian masa pada Sukan Olimpik Athens 2004.

Walaupun tidak dapat mempertahankan emas acara pecut individu selepas diketepikan oleh Jason Kenny yang mengisi slot tunggal Britain pada temasya itu, Hoy meraih dua emas dalam dua acara iaitu pecut berpasukan dan keirin.
Emas keenam pelumba Scotland berusia 36 tahun itu bermakna dia mengatasi rekod lima emas Olimpik oleh atlet mendayung Britain, Steve Redgrave.

"Saya terkejut ia menakjubkan. Saya mahu menang emas di hadapan penyokong sendiri. Saya lihat semua orang teruja dan saya bersyukur ia berhasil," kata Hoy.
Ditanya sama ada dia akan bersaing pada temasya berkenaan di Rio de Janeiro, Hoy berkata, dia memilih untuk mengakhiri kariernya di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.

"Bukan pada sukan Olimpik. Saya 99.9 peratus yakin saya tidak akan beraksi di Rio.
""Glasgow 2014, sekiranya saya mampu meneruskannya, maka ia akan menjadi persaraan impian bagi saya.
"Ini merupakan penamat yang sempurna kepada karier Olimpik saya. Di Sydney (2000), saya sangat gembira dengan pingat perak.

"Sekiranya saya berhenti ketika itu, saya sudah cukup gembira, tetapi untuk terus beraksi di Athens, Beijing dan di sini, saya tidak boleh berkata apa-apa," tambah Hoy yang mengalirkan air mata ketika upacara penyampaian pingat. - AFP