Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengumumkan penubuhan pusat pendedah
maklumat bagi mendedahkan lebih banyak "skandal besar" yang didakwa cuba
dilindungi badan berkepentingan awam.
Badan itu yang
dikenali sebagai Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (Now)
sudah didaftarkan dan akan beroperasi dari Sungai Besi dekat ibu negara.
"Menyedari
bahawa tanggungjawab melindungi pemberi maklumat dan menjaga kebajikan
mereka tidak akan dipikul oleh kerajaan, saya merasa terpanggil untuk
bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan sedia ada dan seluruh
masyarakat untuk menubuhkan sebuah badan khusus untuk melindungi dan
menjaga kebajikan pemberi maklumat," katanya.
Menurut Rafizi, pusat itu antara lain ditubuhkan dengan matlamat berikut:
(1) Berfungsi
sebagai badan pemantau yang menilai secara berkala prestasi urus
tadbir, tata kelola dan ketelusan kerajaan dan agensinya (termasuk
syarikat berkaitan kerajaan);
(2) Melindungi dan
menjaga kebajikan pendedah maklumat melalui Dana Perlindungan Pemberi
Maklumat yang akan menanggung kos guaman, kos hilang sara diri dan
lain-lain;
(3) Menjalankan program kesedaran untuk menggalakkan lebih ramai pendedah maklumat tampil ke hadapan; dan
(4) Melatih lebih ramai aktivis yang berkemahiran menganalisa skandal dan melakukan pendedahan.
'Akta diragui masyarakat'
Ia
juga, kata Rafizi akan berfungsi untuk membantu pendedah maklumat yang
bukan sahaja tidak dibantu malah didakwa diburu kerajaan.
Katanya, ia bertujuan mematikan budaya baru menggalakkan pendedah maklumat tampil ke hadapan.
"Akta Perlindungan Pemberi Maklumatyang digubal langsung tidak berkesan malah diragui rakyat," kata Rafizi.
Pelancarannya akan dilakukan pada 30 Ogos ini - sehari sebelum Hari
Kebangsaan untuk melambangkan kebebasan baru rakyat Malaysia.
Rafizi turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai kepada pusat itu. - Mkini