SHAH ALAM – Jika sebelum ini heboh mengenai hubungan kurang baik antara
Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersama Abby Abadi, tetapi gambar Abby
bersama Memey dalam persalinan telekung, yang dikongsi dengan peminat
mereka menerusi laman twitter semalam, menjawab segala persoalan
berkaitan selama ini.
Bulan Ramadan mulia namapknya telah menyatukan keluarga ini.
Norman yang dihubungi Sinar Harian Online hari ini berkata,
dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu dan menyifatkan
Ramadan tahun ini adalah yang paling manis buatnya keluarganya.
“Sekarang hubungan kedua Abby dan Memey sudah baik dan menjadi semakin
mesra sejak 7 Ramadan lalu. Seperti ramai sedia maklum sebelum ini,
hubungan kami tidak begitu baik dan jikalau bertemu pun hanya untuk
tujuan mengambil dan menghantar anak dan komunikasi terbatas di antara
kami bertiga.
“Tetapi mungkin disebabkan berkat bulan Ramadan serta doa yang selama
ini tidak putus-putus saya dan masyarakat sekeliling mendoakan, akhirnya
tercapai juga impian itu," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan
Abby pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 2008.
Norman menambah: "Saya sendiri tidak menyangka perkara ini berlaku
secara tiba-tiba dan kebetulan hari itu hari Jumaat, kami bertemu di
sekitar Masjid (Negeri) Shah Alam kerana Abby ada program di sana
sebelum saya bawa anak-anak balik ke Kuantan untuk berpuasa di kampung
dan dengan tidak semena-mena Abby menarik Memey ke tepi lantas terus
berpelukan dalam tempoh yang agak lama."
"Saya dan anak-anak hanya memerhati dari tepi kereta. Tentunya perasaan
saya dan anak-anak sangat gembira kerana mereka kini telah berbaik,
malah anak-anak turut bersorak mengatakan 'yeay, mama dan mummy dah
berkawan'!” kata Norman lagi.
Norman, 36, turut memberitahu sebagai seorang Muslim, dia tidak pernah
berhenti dan berputus asa daripada berdoa demi kesejahteraan keluarganya
dan sekarang segala doa itu sudah dimakbulkan oleh ALLAH S.W.T. dan
berharap perkara ini akan berkekalan buat selama-lamanya.
Semalam, Abby, 35, telah memuatnaikkan dua gambar terbarunya menerusi
akaun twitter menunjukkan dia dan Memey, 24, bergambar dalam keadaan
mesra beserta mesej “doakan yang terbaik untuk kehidupan kami berdua
dunia dan akhirat” dan satu gambar mereka sekeluarga berbuka bersama.
Selain itu, Abby, pelakon drama Gerak Khas turut memberitahu dia juga sempat bersembahyang Maghrib bersama berimamkan bekas suaminya itu.
Sementera itu, ketika diminta mengulas mengenai kisah politik Abby yang
semakin serius menceburi bidang itu kebelakangan ini, Norman berkata,
dia tidak pernah mencampuri hal itu dan berkata perkara itu adalah hak
dan kebebasan seseorang individu untuk menentukan hala tujunya sendiri.
“Jika kami bertemu, tidak pernah sesekali saya bertanyakan mengenai
perkara itu. Kami hanya banyak berkomunikasi mengenai masa depan dan
perkembangan pendidikan anak-anak kami, Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa
Dania, 7, dan Maria Danisha, 4.
“Saya sangat menghargai Abby menjadi ibu yang baik kepada anak-anak
saya dan lain-lain hal mengenai dia saya tidak mahu masuk campur kerana
itu adalah hak dia,” kata Norman.
“Kami berdua juga masih dalam perbincangan untuk menghantar anak-anak
ke sekolah tahfiz dan mengerjakan umrah bersama mungkin selepas Memey
bersalin nanti,” katanya.
Memey yang kini tiga bulan hamil dijangka melahirkan anak Februari depan.
“Anak sulung, Danish sangat teruja mengenai rancangan umrah ini dan
tidak sabar-sabar untuk pergi ke sana bersama kedua-dua mama dan
mummynya turut serta,” tambah Norman.
Sementara itu, Memey yang dihubungi Fara Fauzana, deejay Hot FM, menyatakan memang benar mereka berdua sudah berbaik dan semalam mereka berbuka puasa bersama di rumah Abby.
Norman dan Abby sebelum ini disahkan bercerai talak satu di Mahkamah
Syariah Gombak Timur pada 2008 selepas bercerai buat kali pertama pada 5
Mei 2006.
Norman berkahwin dengan Memey pada 24 September lalu. - SH