PUTRAJAYA - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei hari ini
menerima ganjaran RM500,000 di atas kejayaannya meraih pingat perak
dalam acara perseorangan badminton sukan Olimpik London 2012.
Ganjaran itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul
Razak dalam majlis di Seri Perdana di sini yang turut dihadiri isteri
Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Ganjaran meliputi RM300,000 sumbangan Skim Hadiah Kemenangan Sukan,
Majlis Sukan Negara dan RM200,000 sumbangan kerajaan Malaysia dalam
bentuk Amanah Saham Wawasan.
Selain itu, Chong Wei turut menerima hadiah seutas jam tangan yang
disampaikan Rosmah, selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri mengucapkan tahniah di atas
kejayaan jaguh badminton negara itu meraih pingat perak dan yakin ia
akan menguatkan lagi azam Chong Wei untuk mencipta kejayaan lebih
cemerlang di Olimpik 2016.
"Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi beliau (Chong Wei) untuk
meraih emas tetapi beliau sudah berhempas pulas dan berjuang
habis-habisan.
"Itu sudah menunjukkan betapa besar jiwanya untuk mencapai kejayaan dan
diharapkan tidak putus asa untuk mencipta kejayaan yang lebih
membanggakan," katanya.
Pada majlis itu, Najib turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan
mewujudkan Akademi Badminton Negara di Pusat Latihan Badminton Stadium
Juara Bukit Kiara.
Sementara itu, Chong Wei, 30, berkata beliau akan mempertimbangkan
hasrat Perdana Menteri untuk melihat beliau kembali merebut pingat emas
pertama pada temasya Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri atas ganjaran hari ini,
saya akan simpan duit itu.
Walaupun tidak dapat membawa balik pingat
emas, kerajaan masih memberi sokongan kepada saya. Bagaimanapun saya
telah buat yang terbaik," katanya.
Chong Wei berharap dengan sokongan tersebut, ia akan menyuntik semangat
untuk dirinya meneruskan aksi di sukan Olimpik akan datang, sebagaimana
yang dihasratkan Perdana Menteri.
"Bagaimanapun saya perlu lihat prestasi saya dua tahun lagi iaitu
selepas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di
Glasgow, Scotland, kedua-duanya pada 2014. Jika masih 'fit'(cukup
cergas) saya akan teruskan pada Olimpik 2016," katanya. - Bernama
* Pingat emas sebanyak itu pun dianggap terlalu tinggi...
