Saya ingin merujuk kepada kenyataan Abdullah Samaah yang dikeluarkan
oleh Utusan Malaysia berkaitan haram menyokong DAP kerana mereka
merupakan kafir harbi.
Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh
yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di
zaman dahulu dengan negara musuh.
Kafir harbi adalah merujuk
kepada negara musuh yang berperang dengan Muslim di mana darah mereka
adalah halal ditumpahkan kerana ianya di dalam suasana perang, di mana
kafir harbi itu sendiri berusaha membunuh umat Islam.
Kafir harbi adalah wajib diperangi di peringkat negara di atas dasar peperangan.
Di
zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat
Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau
dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama
moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan
yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan
bukan Islam.
Pengkelasan Abdullah Sama'ah bahawa DAP adalah
kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau
seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP
dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.
Bahkan di dalam DAP terdapat juga di kalangan pemimpin dan juga ahli mereka yang Muslim. 'Fatwa' Abdullah yang direstui oleh Utusan itu
juga memberikan konotasi bahawa umat Islam di Malaysia sekarang hidup
dalam suasana peperangan dan permusuhan dengan rakyat bukan Islam.
'Fatwa' liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusan
kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan
bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan
darah ahli-ahli DAP.
Saya menggesa agar pihak keselamatan segera
menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau
ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan
para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad
membunuh ahli-ahli DAP.
Sudah tentu kita tidak mahukan pertumpahan darah berlaku di antara kaum di Malaysia. Tindakan perlu diambil ke atas Abdullah.
Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia
sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak
menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya
menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.
Mengeluarkan tajuk
berita utama di muka hadapan seperti yang telah berlaku hanya akan
membuka ruang kepada pelampau perkauman untuk menghalalkan darah
ahli-ahli DAP di atas nama jihad. Ini perlu dielakkan demi menjaga
kesejahteraan negara Malaysia yang kita cintai bersama.
Dr
Maszlee Malik merupakan seorang pensyarah di UIAM. Tulisan ini
merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak menggambarkan pendirian
rasmi Malaysiakini.
* Senjata makan tuan...
