LONDON - Chef-de-Mission Malaysia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid
menyifatkan kejayaan Pandelela Rinong anak Pamg merangkul pingat gangsa
pada acara terjun Olimpik semalam sebagai satu fenomena, melambangkan
semangat juang tulen atlet Malaysia.
Beliau berkata gadis Sarawak berusia 19 tahun itu punya kelebihan dalam
dirinya, mara dari permulaan yang lemah pada terjunan pertama untuk
mengatasi penerjun lain kelas dunia.
"Beliau adalah satu fenomena. Atlet Malaysia dan orang ramai harus
merasa terdorong dengan semangat juangnya," kata Ahmad Sarji kepada
pemberita di sini hari ini.
Pandelela merangkul gangsa pada Olimpik 2012 itu yang mempunyai nilai
insentif tunai RM300,000 dan RM2,000 pencen bulanan di bawah Skim
Insentif Sukan (Shakam) Kementerian Belia dan Sukan selepas mengutip
359.20 mata dalam acara Platform Wanita 10m, di Pusat Akuatik.
Peserta Australia Brittany Broben meraih perak dengan 366.50 mata
sementara Chen Ruolin, China mendapat emas dengan 422.30 mata.
Pandelela mengutip 58.50, 78.30, 64.00, 81.60 dan 76.80 mata pada lima acara Platform Wanita 10m peringkat akhir.
Gangsa beliau merupakan pingat pertama bagi kontingen Malaysia untuk
acara terjun sejak penyertaan pertama negara di sukan itu iaitu di
Olimpik Melbourne 1956.
Mengulas pencapaian keseluruhan atlet Malaysia di Sukan London itu,
Ahmad Sarji berkata Malaysia kini sudah berada dalam lengkongan
mendapatkan pingat.
"Kita mempunyai infrastruktur terbaik di Malaysia, jurulatih dan atlet juga terbaik.
"Kini masanya untuk kita menentukan bila kita harus mendapatkan emas.
Tetapi bagi Sukan London ini, saya cukup puashati kita mendapat dua
pingat dari dua sukan berlainan. Ini satu pencapaian kontingen Malaysia.
Ahmad Sarji berkata beliau begitu teruja melihat penonton Britian
memberi sokongan kepada atlet mereka sama saja sama ada di peringkat
awal atau akhir.
Mereka sentiasa melayan atlet mereka seolah-olah juara. Beliau berkata
Malaysia sewajarnya mencontohi sikap rakyat Britain sebegini. - Bernama
* Ini kerana rekod atlet mereka memang menyumbang juara. Malaysia tidak begitu...
