KUALA LUMPUR 9 Ogos - Ops Sikap yang
diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2001 berubah wajah
dengan pendekatan yang lebih baik apabila pasukan itu melancarkan Ops
Selamat esok.
Sebelum itu, Ops Sikap dikenali sebagai Ops Statik dan Ops Pacak.
Pelancaran Ops Selamat akan disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan
Sri Ismail Omar di Dataran Shah Alam, Selangor.
Selain mengurangkan kadar kemalangan maut serta jumlah kematian pada
musim perayaan ini, Ops Selamat juga merangkumi pencegahan jenayah
termasuk kes-kes berkaitan harta benda serta jenayah jalanan.
Ops Selamat yang diberi suntikan lebih segar untuk memantapkan
operasi PDRM di musim perayaan adalah selari dengan permintaan orang
ramai yang mahukan kehadiran polis di kawasan perumahan semasa
penghuninya balik kampung.
Sementara itu, Ismail ketika ditemui pada program pembungkusan kuih
raya PDRM di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini berkata, Ops
Selamat akan diberikan pembaharuan dalam usaha menangani korban jalan
raya ketika musim perayaan.
"Polis akan melakukan beberapa pembaharuan dalam penugasan
anggotanya, ini termasuk untuk mengurangkan kejadian jenayah ketika
sambutan Aidilfitri.
"Kita akan fikirkan bagaimana untuk kurangkan jenayah pada musim
perayaan ini supaya orang ramai dapat balik kampung dengan perasaan
selamat dan tidak perlu bimbang dengan kejadian jenayah," katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 4,700 bungkusan mengandungi kuih raya dan
kain pelekat disediakan oleh 200 anggota Persatuan Keluarga Polis
(Perkep) untuk disampaikan kepada anggota polis yang bertugas pada
Aidilfitri dan selebihnya di luar negara.
Ops Sikap Ke-24 yang berlangsung sempena Aidilfitri tahun lalu
dikatakan antara yang terburuk selain dianggap gagal kerana
penguatkuasaan dilakukan secara tidak menyeluruh dan tegas.
Ketika itu, PDRM menggunakan pendekatan advokasi mendidik orang ramai
agar bersikap tertib dan sopan di jalan raya tetapi gagal mencapai
matlamatnya apabila 18.8 peratus kemalangan maut dicatatkan serta
kematian meningkat kepada 16.5 peratus. - Utusan
* Rakyat pula bermula dengan tanggapan 'tukar kulit tetapi isi sama' sehingga kejayaan dibuktikan..
