KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) semalam melancarkan
Pasukan Siber atau dikenali `BN Youth Cyber Team' (BNYCT) yang akan
bertindak sebagai medium bagi menyalurkan maklumat umum kepada orang
ramai.
Pengerusinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pasukan tersebut
yang terdiri daripada sukarelawan, akan menjadi perintis kepada generasi
muda untuk bersama-sama menyebar maklumat tepat dan menangkis fitnah
yang dilemparkan oleh pembangkang.
Menurutnya, pada masa ini, maklumat asal berkaitan politik semasa
diperoleh daripada portal media arus perdana tetapi berita itu telah
diwarnai dengan komen serta pendapat daripada pembaca yang lebih
cenderung kepada pihak-pihak tertentu.
“Kita berharap platform ini akan mewujudkan satu gelombang atau
ekosistem di mana maklumat kita dapat disampaikan kepada umum dengan
lebih cepat dan tersusun.
“Kita terima hakikat generasi muda pada hari ini masih bergantung
kepada media cetak arus perdana tetapi yang lebih dewasa mereka memilih
untuk menggunakan media sosial sebagai sumber maklumat terkini,” katanya
selepas majlis pelancaran pasukan tersebut di Pusat Dagangan Dunia
Putra di sini.- Kosmo
