PETALING JAYA: Dengan pasaran pekerjaan menjadi begitu
kompetitif pada hari ini, kebanyakan pemohon menggunakan sijil diploma
dan ijazah palsu selain berbohong untuk mendapatkan pekerjaan.
Sebuah syarikat khusus dalam pemeriksaan pra-pekerjaan mengesan
purata lima permohonan dengan ijazah atau sijil palsu setiap minggu.
Manakala sebuah firma penyiasatan penipuan mendapati kira-kira 10%
hingga 15% permohonan yang diteliti menggunakan kelayakan palsu,
sebahagian daripadanya dikeluarkan oleh universiti yang tidak wujud.
Pengarah Urusan Verity Intelligence Sdn Bhd, Mark Leow Boon Kuan
berkata, kebanyakan dokumen dipalsukan dengan bijak dan boleh
memperdayakan sesiapa saja.
"Kira-kira 2,000 permohonan yang kami teliti setiap bulan, 20
daripadanya ditemui menggunakan ijazah dan sijil palsu. Kami berjaya
mengesan 130 dokumen palsu setakat ini untuk tahun ini.
"Sebilangan besar kes melibatkan diploma dan ijazah palsu tetapi kami
turut menemui sarjana dan PhD palsu. Kebanyakan pemalsuan itu dilakukan
sendiri oleh pemohon," katanya.
Leow teringat kes seorang lelaki yang memalsukan Sijil Pelajaran Malaysianya (SPM).
"Ia amat lucu kerana di dalam sijilnya menyatakan dia dari sekolah perempuan," katanya.
Leow juga berkata, kira-kira 50% pemohon menipu mengenai sesuatu perkara dalam resume mereka.
Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar
Satar turut mendapati pemohon pekerjaan menipu dalam resume mereka
mengenai kelayakan, pengalaman kerja dan gaji terdahulu.
Beberapa majikan menggunakan pengesan penipuan untuk memeriksa
pekerja yang berpotensi dan pada masa mengesan pemalsuan di kalangan
kakitangan sedia ada.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin
Bardan berkata, beberapa kes penipuan telah dibongkar apabila pekerja
tersebut gagal mempamerkan kemahiran berdasarkan kelayakan sepatutnya.
Beliau berkata, pemeriksaan ijazah perlu melibatkan proses saringan lebih besar merangkumi rujukan daripada majikan terdahulu.
Sementara itu, Ketua MyStarJob.com Serm Teck Choon berkata, syarikat
tersebut sedang memantau situasi itu dengan lebih dekat walaupun belum
menerima sebarang aduan daripada majikan yang berdaftar dengan mereka.
"Kita menyedari isu ini dan akan bekerjasama lebih dekat dengan
majikan. Kami turut mengkaji pendekatan jangka panjang untuk mengatasi
isu ini," katanya.
Pengurus Negara JobStreet Malaysia, Chook Yuh Yng berkata, syarikat
tersebut sedang bekerjasama dengan beberapa universiti untuk mengatasi
masalah pemalsuan ijazah dan mengesahkan kelayakan pemohon pekerjaan.
Seorang pengurus jabatan sumber manusia di sebuah syarikat berkaitan
kerajaan terkemuka berkata, amalan standard adalah untuk merujuk ijazah
dengan kolej swasta dan universiti antarabangsa dengan Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) untuk menjamin ketulenannya. - Mstar
