KULIM - Mungkin terlalu asyik dibuai cinta, sepasang kekasih lingkungan
17 tahun tidak sedar gelagat mereka dirakam lensa Sinar Harian kira-kira
jam 3.16 pagi di parkir motosikal sebuah restoran makanan segera, di
sini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah
Kebangsaan Taman Selasih yang juga Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan
Undangan Negeri (Adun) Lunas, Elyas Saad berkata, fenomena itu sering
dilihat lokasi terbabit termasuk di sekitar Kulim menjelang subuh.
Namun, timbul kehairanan apabila ketiadaan remaja itu di rumah tidak
langsung menjadi kebimbangan ibu bapa mahupun penjaga mereka.
"Sekarang ini anak lebih banyak habiskan masa di luar bersama rakan
sebaya dan tidak bersama keluarga. Ramadan ini ibu bapa seharusnya
menjalinkan hubungan baik dengan anak dan Tarawih bersama-sama.
"Malangnya semua ini tidak berlaku kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan
aktiviti sendiri hingga lupa tanggungjawab terhadap anak," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian difahamkan oleh pengadu yang mengenali pasangan
berkenaan, kedua remaja terbabit sering berduaan di sudut sunyi lokasi
restoran tersebut.
Elyas berkata, sehingga kini pelbagai perlakuan jenayah termasuk ragut,
samun dan pergaduhan dilaporkan berlaku dan remaja yang sering
menghabiskan masa mereka melepak di restoran makanan segera lebih mudah
menjadi mangsa.
Menurutnya, selain itu ada kes kalangan kanak-kanak berusia sembilan
tahun, di sini terlibat jenayah, berpunca daripada kepincangan rumah
tangga dan sikap ibu yang terlalu memanjakan anak-anak mereka.
"Misalnya penggunaan motosikal merupakan keperluan, tetapi ibu bapa
hari ini membeli motosikal kepada anak mereka tanpa menyedari anak
mereka itu tidak mempunyai lesen. Ini bukan sahaja membahayakan orang
lain malah ia turut membahayakan diri anak mereka.
“Pantaulah ke mana anak kita berada dan dengan siapa mereka berkawan.
Bagi remaja perempuan kita harus ingat perlakuan rogol sering berlaku
dimana ia melibatkan suka sama suka," katanya.
Menurutnya lagi, ibu bapa harus menerapkan ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. - SH
* Bukan Kedah diperintah PAS ke...