AYER KEROH - Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat
melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun
dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di
sini, selepas Mohd Harmozi Abdul Ghani, 28, dan Rizal Azlie Abdullah,
34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan
pada hari ditetapkan perbicaraan, semalam.
Hukuman itu selepas mengambil kira kelakuan jenayah berat dan kejam
dilakukan secara bersama-sama tertuduh dalam satu transaksi.
“Walaupun kamu sudah insaf terutama bersempena Ramadan ini, kamu harus
terima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura sebagai
penjawat awam memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pasangan
remaja berusia 14 dan 17 tahun di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling,
kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.
Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan
yang memperuntukkan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke
atas harta seorang daripada mangsa dengan mengambil sebuah motosikal
jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit di lokasi, waktu dan tarikh
sama.
Atas kesalahan itu, kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan dituduh
mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh
dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mereka juga didakwa merogol seorang daripada mangsa di sebuah ladang
kelapa sawit di Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya di sini,
antara jam 11.30 malam dan 1.30 pagi, tarikh sama.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak
melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuan, kedua-duanya yang telah menyesal atas perbuatan dilakukan
memohon hukuman ringan, selain hukuman penjara dijalankan serentak
daripada tarikh ditangkap serta meminta untuk ditempatkan di Penjara
Sungai Udang.
Bagaimanapun, Rebecca meminta mahkamah memberikan hukuman berat
terhadap tertuduh yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk melakukan
perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun.
“Perbuatan mereka telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan trauma," katanya.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali
menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan menyamar, lapan
tahun dan dua sebatan (rompakan berkumpulan) dan 15 tahun dan lapan
sebatan (merogol).
Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada
tarikh ditangkap pada 15 Januari 2011 dan tertuduh dipenjarakan di
Sungai Udang. - SH
* Sebat di khalayak ramai supaya lebih memberi pengajaran kepada masyarakat. Hukuman juga perlu dikenakan kepada remaja yang keluar malam (pergaulan bebas)...