BALING 8 Ogos - Sambutan hari raya tahun ini sudah pasti berbeza buat
Mohd. Hafiz Haikal Shaharudin, 5, yang putus pergelangan tangan
kanannya akibat tersepit mesin tebu.
Kejadian kira-kira 4.30 petang 31 Julai lepas itu sama sekali tidak diduga.
Ibunya, Siti Aishah Mohamad Sidek, 33, singgah di sebuah gerai
menjual air tebu di Jalan Kampung Sungai Limau dekat sini untuk membeli
air tebu kerana anak bongsu daripada empat beradik itu hendak minum air
tebu.
Siti Aishah berkata, dia memberhentikan kereta di tepi jalan manakala
Mohd Hafiz Haikal dan anak keduanya, Nurul Intan Safira menunggu dalam
kereta.
Ketika ibunya sedang berurusan membeli air tebu, mangsa keluar dari
kereta dan memegang mesin yang sedang memerah batang tebu menyebabkan
tangan kanannya tersepit.
Usaha mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit di bahagian
pergelangan tangan dilakukan lebih 30 minit dengan bantuan orang ramai
yang berada di sekitar gerai itu.
Akibat kejadian itu, pergelangan tangan Mohd Hafiz Haikal terpaksa
dipotong di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kerana
hancur.
Berikutan itu mangsa terpaksa menerima rawatan lebih seminggu sebelum dibenar keluar petang semalam.
Ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banggol, Asam Jawa di
sini, bapa kanak-kanak itu, Shaharudin Ismail, 33, seorang pekerja
kampung, berkata dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
"Saya berharap ada pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
dapat membantu mendapatkan tangan palsu untuk anak saya," katanya.
Sementara itu, Aishah berkata, dia menerima kejadian itu sebagai takdir dan ujian kepada keluarganya sempena bulan Ramadan ini.
Mohd Hafiz Haikal memerlukan rawatan susulan di HSAH setiap minggu. - BERNAMA
