DATUK Seri Najib Tun Razak telah meminta Datuk Lee Chong Wei melakarkan
sejarah negara dengan merangkul pingat emas selepas melangkah ke final
acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik 2012 London.
"Baru sahaja bercakap dengan Chong Wei, mengucap tahniah kepadanya atas
kemenangan hebat! Beritahu beliau supaya mencipta sejarah bagi Malaysia
dengan memenangi emas," kata Perdana Menteri dalam tweetnya semalam.
Chong Wei, pemain nombor dua dunia, mara ke final selepas menjinakkan
pemain China, Chen Long, 21-13, 21-14 pada perlawanan separuh akhir
malam tadi.
Chong Wei, selaku pilihan utama acara itu pada Sukan Olimpik kali ini,
akan menentang juara bertahan Lin Dan dari China pada perlawanan akhir
esok.
Lin Dan, yang mengalahkan Chong Wei pada final edisi Sukan Olimpik
lepas di Beijing pada 2008, turut mara ke perlawanan akhir dengan
mengalahkan Lee Hyun Il dari Korea Selatan, 21-12, 21-10, pada satu lagi
perlawanan separuh akhir. - Bernama