04 August 2012

Lajim, Bumburing keluar parti tidak akan ubah tarikh pilihan raya, kata Najib

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Tindakan dua ahli politik Barisan Nasional (BN) di Sabah keluar parti tidak akan mengubah tarikh pilihan raya seperti yang telah dispekulasi, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini, dengan berkata akan mengambil langkah untuk memperkuatkan kubu di Malaysia timur itu.


Perdana Menteri telah memberitahu wartawan hari ini walaupun desas desus mengatakan lebih ramai akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, BN mampu menangani isu tersebut.
"Setakat ini banyak khabar angin tetapi yang penting kita yakin kedudukan BN tidak akan terjejas.

"Kita mampu menghadapi cabaran ini dan kita akan mengambil langkah untuk memulihkan keadaan ini untuk memperkukuhkan kedudukan Umno dan BN," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis tertinggi Umno.

Najib (gambar) berkata, timbalan ketua bahagian Umno Beaufort kini memangku jawatan ketua, posisi yang dikosongkan oleh Lajim pada minggu lalu apabila dia mengumumkan untuk menyokong Pakatan Rakyat (PR).

"Kita juga telah menetapkan bahawa Umno negeri akan menyelia operasi di bahagian Beaufort dan akan membantu agar kedudukan Umno dan BN tidak akan terjejas," katanya lagi.
Apabila ditanya adakah tindakan dua ahli politik itu akan menjejaskan masa untuk pilihan raya, Najib hanya menggelengkan kepala.

"Tidak," kata beliau. "Saya tak tahu bila pilihan raya akan berlangsung, tahun ini atau tahun hadapan. Mungkin tahun ini, mungkin tahun hadapan.
The Malaysian Insider melaporkan pada Isnin lalu apabila Lajim dan Bumburing keluar parti, ada kemungkinan pilihan raya akan berlangsung pada tahun hadapan kerana parti pemerintah itu mahu mengekalkan "simpanan tetap" di dua negeri Borneo itu.

Menurut sumber BN Sabah dan Kuala Lumpur, keputusan dua ahli politik itu mungkin menjadi sebab Najib untuk melihat semula tarikh pilihan raya selepas Perbentangan Bajet pada 28 September bagi mandat peribadinya selepas mengambil alih pentadbiran pada April 2009.
"Tak mungkin pada September walaupun Umno dan rakan-rakan sudah bersedia ke pilihan raya," kata sumber BN dari Kuala Lumpur kepada The Malaysian Insider.

"Umno perlu pastikan undi di Sabah dan Sarawak menjadi undi simpanan tetap memandangkan undi Melayu berpecah di Semenanjung," kata sumber itu dengan merujuk kepada hanya 79 kerusi yang dimenangi Umno.
Sumber menyatakan kepada The Malaysian Insider bahawa pilihan raya mungkin berlangsung September jika Najib merancang untuk bubarkan parlimen pada Ogos ini, sembilan bulan sebelum mandat BN berakhir pada April 2013.

Ada beberapa tarikh diperkatakan pada tahun lalu walaupun perdana menteri keenam itu menyatakan keyakinan untuk memenangi kesemua negeri dan kerusi di peringkat persekutuan.
Sebelum dua wakil itu keluar parti, BN menguasai 22 dari 25 kerusi parlimen di Sabah selain Wilayah Persekutuan Labuan. Pada pilihan raya lalu, BN hilang majoriti dua pertiga kerana kekalahan teruk di Semenanjung, apabila hanya menang 85 sementara pembangkang menang 80 kerusi.

Penyelamat BN adalah negeri Borneo serta Labuan dimana mereka menang 55 kerusi berbanding pembangkang yang hanya menang dua kerusi.
Selepas minggu lalu, BN kini mempunyai 136 kerusi, PR 76 kerusi, SAPP dua dan lapan kerusi bebas dalam 222 kerusi parlimen Dewan Rakyat. - TMI

* Tak ubah cuma tangguh...