15 August 2012

Isteri bukan peminat


WALAUPUN ketika mudanya, wajah kacak bergaya Jins menjadi dambaan hati banyak wanita, tetapi tidak bagi anak kelahiran Temerloh,Pahang ini.

"Saya peminat Ahmad Mahmud dan Aziz Jaafar. Jins Shamsuddin saya tak pernah minat pun sebab dia selalu main watak jahat," beritahu Puan Seri Halijah Abdullah dalam ketawa yang sarat mesra.
Halijah, anak campuran Cina dan Melayu berkahwin dengan Jins yang ketika itu sudah lebih 20 tahun membujang setelah bercerai dengan seniwati Rahmah Rahmat.

Majlis pernikahan mereka berlangsung dalam diam tanpa diketahui banyak orang meskipun ketika itu Jins berada di puncak populariti dengan kejayaan filem-filem lakonan dan arahannya.

"Selepas agak lama, barulah orang tahu berita pernikahan kami. Masa tu, hanya wartawan Bahyah Mahmood dan suaminya Abi (Ahmad Idris) serta arwah Aimi Jarr yang menulis tentang pernikahan kami," beritahu Halijah mengimbas kenangan.

Dilihat tegas oleh peminat dan anggota masyarakat, bagi Halijah, suaminya adalah seorang yang biasa-biasa saja.
"Di rumah, anak-anak tak adalah 'gerun' sangat pada ayah mereka. Dia tak banyak cakap. Memang tak pernah bergurau, susah hendak lihat dia senyum.

"Tapi dia tak garang pun. Sepanjang kami bernikah, tak pernah sekali pun saya tengok dia 'naik tangan' pada anak-anak atau keluarga lain, jentik pun tak pernah," katanya.
Tapi secara jujur Halijah mengakui suaminya bukan seorang yang romantis.

"Dia tak garang tapi nak tengok romantis tu, tak adalah dalam diri dia. Dalam rumah nak bercakap pun susah.
"Masa terluang nak ajak keluar berjalan-jalan makan angin ke mana-mana sekalipun, susah sebab dia kata berjalan tu rugi, membuang masa, lebih elok buat kerja.

"Dia memang menghambakan dirinya kepada kerja sampai langsung tak ada istilah bercuti bagi dirinya sepanjang zaman sihatnya," katanya lagi. - Utusan