15 August 2012

3 suspek kes letup Bank Rakyat ditahan, 1 diburu


ALOR GAJAH - Tiga suspek ditahan oleh polis berhubung kejadian ledakan bom di Bank Rakyat cawangan Masjid Tanah, Melaka kelmarin.
Sumber berkata, tiga suspek lelaki berusia 24 dan 30-an yang baru beberapa tahun bertugas di negeri ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Difahamkan, suspek pertama ditahan kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.
“Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada suspek pertama, dua suspek lagi berjaya dikesan sebelum ditahan di tempat berlainan dalam kawasan mereka bertugas beberapa jam kemudian.

“Maklumat tambahan yang diperoleh mendapati terdapat seorang lagi suspek dipercayai masih bebas dan balik bercuti akan ditangkap dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka.

Dalam pada itu seorang suspek kes ditahan oleh polis Kelantan di Pasir Puteh awal hari ini.
Lelaki berusia 25 tahun, yang dipercayai bertugas sebagai kakitangan awam, berjaya diberkas kira-kira jam 2.45 pagi semasa berada di rumahnya di Kampung Merkang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek akan diserahkan kepada polis Melaka untuk tindakan selanjutnya.                                   

"Dipercayai lelaki terbabit yang berasal dari Kelantan, bekerja berhampiran kawasan bank itu," katanya.
Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan perompak gagal dalam cubaan mereka melarikan wang dalam sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas cuba meletupkannya.

Dipetik media kelmarin, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, sejenis bahan letupan dipasang pada salah
sebuah mesin ATM di bank tersebut yang menempatkan dua mesin ATM dan satu mesin deposit wang (CDM).

Letupan itu bukan saja mengakibatkan kerosakan teruk pada mesin ATM itu malah menyebabkan cermin bahagian hadapan bank tersebut pecah selain keretakan pada dinding dan siling bangunan itu. - SH