15 August 2012

Ibu tunggal parah diragut, terjatuh dari motosikal


KOTA BHARU-Seorang ibu tunggal patah tangan kiri selain cedera di kepala dan hidung selepas terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Kampung Baru, Pasir Pekan, Tumpat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Sarifah@Sarimah Ismail, 49, yang bekerja sebagai tukang masak di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.

Mangsa dipercayai terjatuh ketika cuba menghalang beg tangan yang diletakkan di dalam raga motosikal, mengakibatkan dia mengalami kecederaan di muka dan beberapa bahagian badan.
Akibat kecederaan itu, dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Sarifah berkata ketika kejadian dia berseorangan menunggang motosikal menuju ke tempat kerja yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.
“Tidak sampai seminit keluar dari rumah, seorang penunggang motosikal yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba cuba menghampirinya.

“Lelaki itu menghulurkan tangannya ke dalam dalam raga motosikal yang mengandungi beg tangan saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HRPZ II semalam.
Sharifah  bertindak nekad memegang beg dalam raga itu, sebelum peragut itu merentap dengan kuat sehingga dia hilang kawalan dan jatuh tersembam di atas jalan raya.

Menurutnya, peragut itu kemudian bertindak melarikan diri tanpa sempat meragut beg tangannya.
“Mujur ketika itu salah seorang jiran yang melalui kawasan itu membantu saya.
“Dia kemudian menghantar saya ke tempat kerja sebelum majikan membawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Sarifah berkata, ketika kejadian dia hanya membawa kad pengenalan, lesen memandu, telefon bimbit dan wang tunai RM90 dan dia kesal dengan tindakan nekad peragut itu yang sanggup mengambil kesempatan terhadap insan lemah sepertinya.

“Saya hanya mampu berharap pihak polis dapat menangkap peragut itu supaya dia orang awam tidak menjadi mangsa seterusnya,” katanya. - SH