KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, Phua Cheak Hock, 42, dan Tan Lu
Ceng dari Wangsa Maju di sini, mengesyaki kehilangan anak perempuannya
sejak Rabu lalu adalah akibat menjadi mangsa culik dua individu yang
mempergunakan pelajar-pelajar perempuan untuk kegiatan pelacuran.
Menurut ibu malang itu, Lu Ceng, 42, anaknya, Yvonne Phua Sze Kei,
18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Perempuan Air Panas, Setapak
telah hilang secara tiba-tiba dari sekolah pada 1 Ogos lalu.
"Pada hari kejadian, saya telah menghantar Yvonne ke sekolah pada
waktu pagi dan nampak dia terus memasuki kawasan sekolah seperti biasa.
"Namun, ketika saya ingin menjemputnya selepas tamat sesi
persekolahan pada pukul 1.10 petang, saya dapati dia tidak muncul-muncul
sehingga memaksa saya ke sekolah untuk bertanya kepada gurunya.
"Peliknya, gurunya menyatakan Yvonne tidak hadir ke sekolah pada hari
berkenaan," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Pusat
Khidmat Datuk Yew Teong Look di Taman Danau Kota semalam.
Cerita Lu Ceng lagi, sebulan yang lalu, anak lelakinya telah mengadu
kepadanya bahawa Yvonne sedang berkawan dengan dua individu iaitu
seorang lelaki bernama Father (nama samaran) dan seorang tomboi
iaitu seorang wanita yang menyerupai lelaki, Low Hong Xiu, 25, dari
Skudai, Johor melalui laman sosial, Facebook.
Ekoran itu, Lu Ceng telah menasihati anak perempuannya mengenai
perhubungan itu dan meminta agar berhati-hati dengan kawan-kawan baharu
berkenaan.
Ujar Lu Ceng, beberapa hari kemudian sebelum anak perempuannya itu
hilang, ada seorang wanita telah menghubungi anak lelakinya dan mengugut
untuk melarikan Yvonne ke luar negara jika keluarganya menghalang
mereka daripada berkawan. - Kosmo